Petaling Jaya: “Saya hanya menonton persembahan ‘live band’ dan kebetulan seorang peminat wanita nak bergambar dengan saya,”kata pelakon, Zul Ariffin, 28, menafikan dia mabuk dan berfoya-foya dengan wanita di sebuah kelab malam di Langkawi, baru-baru ini.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin berkata demikian berhubung penyebaran gambarnya dikatakan mabuk yang tersebar di Internet sejak beberapa minggu lalu.

Zul ketika ditemui berkata, ia berlaku ketika dia menjalani penggambaran drama bersiri Istikharah Cinta di pulau pelancongan itu.

Zul turut menafikan kejadian itu berlaku di kelab malam kerana di Langkawi memang tidak wujud kelab seumpama itu.

“Saya bukan kaki sosial atau suka berparti. Sebelum ini saya kerap menonton persembahan ‘live band’ di Kuala Lumpur, tetapi saya dapati ia makin membosankan sehingga saya hentikan aktiviti itu.

“Apabila berada di Langkawi, saya teringin menonton persembahan ‘live band’ di sebuah kafe dan kebetulan seorang peminat wanita menyapa saya serta minta untuk bergambar. Saya anggap dia peminat dan sudi penuhi keinginannya, tetapi tidak kenal siapa dia.

“Memang ramai peminat nak ambil gambar dengan pelbagai gaya ketika bertemu saya. Saya tahu mungkin mereka berniat nak berkongsi dengan orang lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumumuan pengacara Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) di Sri Pentas, di sini, semalam.

Zul berkata, penyebaran gambar itu memberi kesan kepadanya dan dia terpaksa menjelaskan perkara sebenar kepada keluarga dan kekasihnya, penerbit filem Gayatri Su-Lin Pillai sebaik isu berkenaan tercetus.

“Saya beritahu keluarga agar mereka tidak salah faham dengan cerita sebenar di sebalik gambar itu. Gaya ada tegur juga, tetapi dia faham apabila saya jelaskan hal sebenar.

“Kejadian ini memberi pengajaran dan saya perlu berhati-hati selepas ini. Saya akui memang sukar nak tolak permintaan peminat yang mahu bergambar dengan saya.

“Saya juga tak lari dan enggan menjawab pertanyaan media mengenai perkara ini, tetapi saya menunggu masa yang sesuai untuk memberi penjelasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:10 AM