CHIK Omar (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas.

Sepang: Cubaan licik seorang wanita warga China menyembunyikan dadah dalam ruang khas bagasinya gagal mengaburi mata penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila dia diberkas bersama dadah seberat 2.28 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) awal pagi semalam.

Dalam operasi jam 1.50 pagi disertai sepasukan anggota dan pegawai JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, wanita berusia 27 tahun berkenaan diberkas selepas pemeriksaan bagasinya menemui dadah jenis methamphetamine bernilai RM433,200.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, imbasan dilakukan pada bagasi suspek berjaya mengesan empat bungkusan plastik yang dililit dengan pita pelekat.

Beliau berkata, pihaknya menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek menaiki penerbangan dari Hong Kong ke klia2 dan rekod juga menunjukkan dia baru pertama kali tiba di Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Chik Omar berkata, kes berkenaan adalah kes keempat yang berjaya ditumpaskan pihaknya sejak dua minggu lalu membabitkan jumlah rampasan keseluruhan seberat 7.46 kg bernilai RM1.47 juta selain menahan dua lagi suspek masing-masing seorang wanita warga China dan lelaki warga Nigeria.

Beliau berkata, lelaki warga Nigeria berusia 26 tahun itu ditahan pada 5 Oktober lalu bersama dadah jenis methamphitamine seberat 2.8 kg bernilai RM395,200 yang ditemui dalam poket khas seluar jean dibawanya.

Beliau berkata, suspek menyembunyikan dadah berkenaan pada poket khas yang dijahitnya di bahagian paha pada empat helai seluar jean yang dibawanya dalam bagasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 5:07 AM