Kuala Lumpur: Pengambilan produk bina badan beracun atau steroid tanpa kawalan boleh menyebabkan kematian kepada pengguna.

Bekas juara bina badan Asia enam kali, Datuk Malek Noor berkata, bahan kimia yang terdapat dalam produk bina badan tiruan itu boleh mendatangkan pelbagai kesan berbahaya, antaranya buah pinggang, jantung, darah tinggi dan juga mampu menurunkan ketahanan tubuh.

“Atlet tidak sepatutnya mengambil produk bina badan semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan sasa dalam masa terdekat.

“Sebaliknya untuk mendapatkan bentuk badan sasa memerlukan pemakanan seimbang daripada protein, karbohidrat dan vitamin tambahan serta jadual ketat, selain mendapat nasihat pakar,” katanya, semalam.

Beliau mengulas mengenai muka depan Harian Metro Jumaat lalu selepas seorang ahli bina badan amatur disiasat kerana disyaki menjual ubat dipromosi mujarab untuk membakar lemak dan boleh merosakkan sistem saraf tubuh, selain kematian mengejut.

Kegiatan lelaki berusia 30-an itu terbongkar selepas pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selangor menyerbu premis milik lelaki itu di sini jam 11 pagi, Khamis lalu.

Sementara itu, pakar perubatan, Datuk Dr NKS Tharmaseelan berkata, kebanjiran ubat tiruan di pasaran sangat membimbangkan terutama produk dalam talian.

”Tiada jalan singkat untuk berjaya dan seharusnya ahli bina badan tidak mengambil produk tiruan kerana terlalu banyak kesan sampingan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengawal ketat semua jenis ubat-ubatan dan makanan tambahan di negara ini dengan pelbagai serbuan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, semua ubat dan makanan tambahan diuji dengan pengawalan ketat sebelum dibenarkan dijual di farmasi.

“Tetapi ada segelintir peniaga menjual ubat dan produk tambahan dengan harga murah di pasaran gelap atau pasar malam.

“Mereka mengambil jalan singkat dengan menjual produk mengancam bahaya. Ini menyalahi undang-undang kerana tidak mendapat kelulusan KKM,” katanya.

Katanya, produk tidak dikawal bermaksud kualiti tidak diuji dan jika lebihan dos boleh membawa maut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:09 AM