DZUN-Nun Ajlaa (tiga dari kanan) berkongsi pengalaman dengan Azali (dua dari kiri) selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sesi Januari 2014 KPTM, semalam.
Oleh Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Empat kali gagal dalam subjek berbeza sepanjang dua tahun pertama pengajian di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), penerima Anugerah Khas Dzun-Nun Ajlaa Ahmad Kamal berjaya membuktikan usaha secara positif pasti diiringi kejayaan.

Pelajar tahun ketiga program Profesional Institute of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA) ini antara 922 pelajar cemerlang yang diraikan dalam Majlis Kecemerlangan Akademik Sesi Januari 2014 KPTM, di sini, semalam.

Gadis berusia 21 tahun ini menerima pengiktirafan tertinggi KPTM apabila memenangi anugerah ‘The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) Prize’ selepas berjaya memperoleh markah tertinggi bagi kertas peperiksaan ‘Business Ethic’.

Berkongsi resipi kejayaan, Dzun-Nun Ajlaa mengakui kesilapan teknik belajar ketika awal pengajian menjadi faktor utama kegagalannya.

Bangkit daripada kegagalan, dia mula mencari teknik pembelajaran terbaik untuk dicontohi.

“Sistem pemarkahan program ini sangat berbeza dengan jurusan lain kerana keputusan akhir bergantung sepenuhnya pada peperiksaan bukan merangkumi tugasan atau pembentangan kertas kerja.

“Menyedari kesilapan itu, saya memanfaatkan Internet untuk mendapatkan kaedah pembelajaran terbaik dan merangka jadual sendiri.

“Selain itu, dua bulan sebelum menghadapi peperiksaan, saya menyediakan jadual khas untuk mengulang kaji bagi semua subjek,” katanya yang turut bersyukur atas pengiktirafan diberikan KPTM.

Gagal dalam subjek tertentu membuatkan Dzun-Nun rasa kecewa, namun dia bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan koordinator programnya, Norizelini Ibrahim.

Untuk sentiasa bersemangat mencapai kejayaan, Dzun-Nun akan memastikan dirinya membaca buku atau keratan motivasi setiap hari sekali gus menjadikannya lebih positif.

Majlis yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Prof Dr Azali Mohamed turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi KPTM, Prof Dr Khairul Baharein Mohd Noor dan Dr Wan Sabri Wan Hussin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:06 AM