DUA peniaga yang dituduh meminta dan menerima rasuah RM15,000 hadir di mahkamah untuk menghadapi pertuduhan.

Seremban: Dua peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Zairi Abd Hamid dan Harun Norrsshid Mohd Amin, masing-masing berusia 55 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan meminta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama seorang lagi tertuduh, Mohamad Khaizad Hashim, 45, didakwa dengan niat bersama meminta secara rasuah satu suapan wang tunai RM15,000 daripada seorang penjawat awam, Lam Shah Mustaffa, 49, sebagai dorongan untuk pegawai Badan Pencegah Rasuah (kini dikenali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyelesaikan kes yang disiasat oleh agensi itu terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dibuat di Restoran Nasi Ayam Hainan, Taman Ampangan pada jam 3.05 petang, 30 Julai 2007 dan dituduh mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997 (Akta 575).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama dibaca serentak dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, semua tertuduh didakwa dengan niat bersama cuba menerima suapan RM15,000 daripada pengadu bagi tujuan sama di Restoran The Rhim, Senawang pada tarikh sama, kira-kira jam 9.50 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 20 (1) (a) dan Seksyen 10 (a) (bb) APR 1997 serta dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nurdiyanah Mohd Nawawi mencadangkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh, namun dibantah peguam bela Mohamad Nor Hisam Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:13 AM