BAYI yang ditemui di surau masih bertali pusat.
ABDULLAH menunjukkan lokasi bayi ditemui.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: "Mujur bayi itu ditemui jemaah surau, jika tidak mungkin dia akan kesejukan atau dihurung semut," kata Abdullah Ab Rahman, pembantu bilal Surau Platinum Al Mawaddah, Seksyen 7, di sini, selepas seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan berbalut kain di koridor surau berkenaan, awal pagi semalam.

Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemui kira-kira jam 2 pagi oleh sekumpulan jemaah yang berqiamulail di surau berkenaan selepas mendengar tangisan dari arah luar dewan solat.

Abdullah, 63, berkata, curiga dengan suara tangisan itu, jemaah surau bergegas keluar sebelum menemui seorang bayi lelaki yang hanya dibalut kain dan masih ada darah di badannya.

"Jemaah surau kemudian mengazankan bayi berkenaan sebelum seorang yang bertugas sebagai doktor memeriksa bayi itu dan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

"Bayi berkenaan diserahkan kepada kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan lanjut," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 10:22 PM