SULTAN Nazrin Shah menziarahi jenazah bapa MB Perak.

Pangkor: Abd Kadir Muhammad, 73, bapa kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Desa Pangkor, semalam.

Allahyarham Abd Kadir atau mesra dengan panggilan Pak Karim menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.10 pagi.

Anak arwah, Sulaiman Abd Kadir, 35, berkata, bapanya sempat turut serta dalam solat jenazah seorang penduduk yang meninggal dunia di Teluk Dalam selepas Isyak dan makan malam di luar sebelum diserang sakit jantung sebaik tiba di rumah.

Menurutnya, dia yang tiba di rumah bapanya di Kampung Teluk Raja Bayang pada jam 12 tengah malam selepas dimaklumkan arwah sesak nafas, mendapati arwah memegang dada sambil membaca ayat suci al-Quran.

Sulaiman berkata, keluarga dengan bantuan jiran membawa ayahnya ke Hospital Desa Pangkor berdekatan setengah jam kemudian.

"Arwah dimasukkan ke bilik kecemasan dan pada jam 1.10 pagi sebelum doktor memaklumkan kepada kami bapa meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Saya sendiri agak terkejut kerana arwah sebelum ini hanya mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan ketara sebelum meninggal dunia kecuali lebih rapat dengan cucu termasuk menegur anak-anaknya yang memarahi cucunya itu.

Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menziarahi dan mengaminkan doa ke atas jenazah Allahyarham pada jam 11 pagi.

Baginda turut mengucapkan takziah kepada Dr Zambry dan keluarganya atas pemergian Allahyarham sebelum berangkat pulang kira-kira 10 minit kemudian.

Allahyarham Pak Karim pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampung Teluk Raja Bayang selama 23 tahun sebelum bersara tahun lalu.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kampung Teluk Raja Bayang pada jam 2.50 petang, selepas solat Zuhur dan solat jenazah diimamkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di Masjid Kampung Teluk Raja Bayang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:18 AM