Muhammad Faiz Azumar Ammin
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu

Perbuatan terkutuk seorang duda yang merompak dua wanita termasuk merogol salah seorang mangsanya tahun lalu, akhirnya terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan Hakim Wan Nor Zanuar Wan Ahmad, selepas tertuduh, Muhammad Faiz Azumar Ammin Mohd Noor, 26, dari Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah, Dungun, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan rompakan menggunakan senjata dan Seksyen 376(2)(b) KK kerana merogol mangsa, seorang amah yang ketika itu berusia 38 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjata terhadap mangsa, Nur Fatin Mohd Nizam Prushothman, 20, di rumah mangsa di Jalan SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun.

Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai mengaku menggunakan sebilah pisau dan merompak sebuah cakera keras jenama Acer berwarna hitam milik mangsa jam 6 pagi pada 10 Oktober 2013.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan.

Muhammad Faiz Azumar Ammin turut mengaku salah melakukan rompakan bersenjata menggunakan sebilah parang terhadap seorang amah dengan melarikan seutas rantai dan gelang emas serta dua telefon bimbit jenama Nokia x2 dan Nokia 110i milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Dia yang mengaku salah melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Jalan Balai Besar, Dungun, jam 5 pagi pada 12 Oktober 2013 dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan.

Selain itu, Muhammad Faiz Azumar Ammin yang mengaku salah merogol mangsa selepas merompaknya turut dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan.

Bagaimanapun, Wan Nor Zanuar mengarahkan semua hukuman penjara yang dikenakan itu berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Caption

Muhammad Faiz Azumar Ammin Mohd Noor, 26, dipenjara 10 tahun dan dikenakan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam selepas mengaku salah melakukan dua rompakan bersenjata dan merogol.

 

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 2:17 AM