JOHNSON (kanan) berbincang bersama peguamnya selepas beliau dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan merogol, semalam.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

Seremban

Seorang pengawal keselamatan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan merogol oleh Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan itu pada akhir kes pendakwaan semalam selepas lapan saksi termasuk mangsa memberi keterangan pada perbicaraan bermula 12 Mei lalu.

Jagjit berkata, selepas meneliti semua keterangan serta hujah pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati kes prima facie terhadap tertuduh, G Johnson, 32, gagal dibuktikan pihak pendakwa.

Katanya, justeru, mahkamah membebaskan dan melepaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Antara lain, dalam penghakiman lisannya itu beliau berkata, mahkamah mendapati keterangan mangsa adalah tidak konsisten dan sukar mempercayainya.

Mengikut pertuduhan, Johnson didakwa merogol mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah di Taman Sri Inai, Sikamat, Seremban, kira-kira jam 6.30 petang, 18 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Abu Hassan Ramli dan tertuduh diwakili Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Ketika ditemui di pekarangan mahkamah, Johnson berkata, keputusan itu hadiah buat dirinya sempena Deepavali.

Katanya, dia sedih kehilangan pekerjaan akibat kes itu dan berazam menjadi suami dan bapa yang baik kepada dua anaknya serta membina hidup baru selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:16 AM