Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam memerintahkan aktivis pembangkang, Hishamuddin Md Rais membela diri terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norazlina Rasdi berjaya membuktikan kes prima facie kes itu.

Seramai empat saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang prosiding pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 November sebagai tarikh bela diri.

Dalam prosiding itu, peguam Syahredzan Johan mewakili Hishamuddin, 63, memberitahu mahkamah anak guamnya itu akan memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Hishamuddin didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara jam 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:13 AM