KEADAAN bas membawa 24 penumpang yang terbalik selepas merempuh sebuah pacuan empat roda di jalan Batang Kali, semalam.
Oleh Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 24 penumpang bas persiaran berdepan detik cemas apabila bas dinaiki mereka merempuh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Batu 10, Jalan Batang Kali menghala ke Genting Highlands petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 1.45 petang itu, hanya lapan penumpang cedera ringan manakala selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila pemandu bas dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang lori terbabit sebelum terbalik di bahu jalan.

Dua penunggang motosikal yang berada di belakang bas itu tidak sempat mengelak seterusnya merempuh bas terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba Kuala Kubu Bharu, Shamsol Majidy Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 petang dan tiba ke lokasi pada jam 2.09 petang.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dan seorang pegawai membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam bas itu.

"Bagaimanapun, ia tidak membabitkan kemalangan jiwa hanya kecederaan ringan. Seorang penunggang motosikal itu patah kaki manakala seorang lagi tidak cedera.

"Penumpang dan pemandu pacuan empat roda itu juga tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:15 AM