Chukai: Lebih 30 hektar kebun sawit milik penduduk Kampung Air Putih, di sini, musnah selepas diserang sekumpulan gajah liar sejak beberapa hari lalu menyebabkan mereka kerugian besar sehingga puluhan ribu ringgit.

Pokok sawit berusia dua hingga empat tahun yang ditanam secara bergotong-royong di atas tanah projek pertanian berkelompok itu kini menunggu masa untuk membuahkan hasil, namun musnah dirosakkan haiwan berkenaan.

Penduduk, Abdul Manan Muda, 58, berkata, dia terkejut melihat tanaman sawit itu musnah diserang sekumpulan gajah liar ketika datang ke kebun untuk melakukan kerja pembersihan pagi kelmarin.

"Saya terkejut melihat kebun musnah dan berselerak diserang gajah sebelum segera memberitahu rakan serta meninjau di kawasan berhampiran.

"Setiap pemilik kebun diberikan tanah seluas antara satu hingga dua hektar untuk mengusahakan tanaman sawit dan mengalami kerugian antara RM10,000 hingga RM20,000 setiap orang akibat kejadian ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohd Huzir Razak, 36, berkata sejak kebelakangan ini beberapa gajah sering datang ke kebun itu dan merosakkan tanaman sawit milik penduduk menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

"Saya berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat mengambil tindakan segera dengan menghalau gajah terbabit atau menangkapnya bagi mengelak ia terus menjadi ancaman kepada kebun penduduk kampung.

"Penduduk bimbang, jika kejadian sama berulang ia bukan saja boleh membahayakan nyawa malah boleh menyebabkan penduduk kehilangan punca rezeki," katanya.

 

caption

1) Penduduk melihat sawit yang dirosakkan gajah liar di Kampung Air Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:07 AM