MEMPUNYAI sentimental tersendiri kerana pada tarikh itulah genap 44 tahun kematian Tan Sri P Ramlee.
Adam Salleh

Tema tahun lalu, Wasatiyah Dalam Seni. Tema tahun ini, yelek dalam bahasa Tamil maknanya tiada! Sebabnya tatkala penulis bertanyakan pada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, apakah ada program dan tema Hari Seniman kali ini, dibalas, “Tidak buat tapi kita cover untuk majlis Ihya Ramadan Seniman sebab menghormati Ramadan.”

Beberapa presiden persatuan lain turut dihubungi, manalah tahu ada yang buat program tersendiri sempena Hari Seniman, sebagaimana tahun lalu sempena hari bersejarah itu, Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik (KFMMK) mengambil inisiatif menganjurkan program Bicara - P Ramlee - Si Tora Harimau Jadian di Pustaka Peringatan P Ramlee di Jalan Dedap, Setapak.

Sebagai pencinta seniman dan seniwati veteran tanah air, Ahmad Fauzee selaku pengerusi KFMMK mengundang heroin filem Si Tora, Fazliyaton, penyunting filem Johari Ibrahim dan wartawan hiburan veteran Mustapha AR untuk mengupas filem arahan sulung P Ramlee di Studio Merdeka, Hulu Klang pada 1964 selepas meninggalkan Jalan Ampas di Singapura.

Seniman pula ketika itu dengan kerjasama Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) meraikan Hari Seniman di Pawagam Mini P Ramlee di Finas, yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Bak kata peribahasa tiada rotan, akar pun jadi, program tahun lalu tidaklah semeriah mana, tetapi kira oklah juga.

Sudah begitu penjelasan ‘tuan-tuan presiden’ untuk tahun ini kalangan penggiat seni, ‘follow’ saja. Cuma tidak bermaknalah Hari Seniman, jika tiada sebarang program dijayakan insan seni. Di sisi lain, tidak adil pula rasanya asal tiba Hari Seniman, persatuan dipayungi Zed itu saja diasak, sedangkan di tanah air kita ada lebih 50 persatuan berkaitan seni, sebagaimana ‘didedahkan’ oleh Nora Danish di hadapan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak ketika Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Penggiat Seni Dengan PM pada 17 Mei lalu.

Pada waktu sama, mana perginya Persatuan Penyanyi Pemuzik Penulis Lagu Tanahair (Papita) kerana P Ramlee bukan saja tokoh di bidang perfileman tetapi nyanyian dan rakaman.

Di sebaliknya, Seniman belum habis lelah apabila dipertanggungjawabkan oleh Yayasan Perdana Ummah selaku penganjur utama untuk menjayakan program TN50 Penggiat Seni itu. Berbanding artis negara jiran, penggiat seni kita beruntung kerana satu hari diisytihar sebagai Hari Seniman pada 2008 ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, sementara Presiden Seniman ketika itu, Datuk Mustapha Maarof (Allahyarham), namun tokoh utama terlaksananya Hari Seniman adalah Tan Sri Dr Rais Yatim.

Kelmarin, 29 Mei adalah Hari Seniman. Berbanding Hari Seniman yang dirai sebelum ini, Isnin lalu mempunyai sentimental tersendiri kerana pada tarikh itulah genap 44 tahun kematian Tan Sri P Ramlee. Seniman Agung kesayangan rakyat itu meninggal pada usianya 44 tahun, di kala sedang sibuk menanti perasmian panggung wayang milik sendiri, Pawagam P Ramlee.

Kita maklum Hari Seniman kali ini jatuh pada Ramadan, seperti mana penjelasan Zed bagi menghormati Ramadan. Namun tidak salah jika pada hari berkenaan diadakan majlis sederhana seperti tahlil untuk seniman dan penggiat seni kita yang sudah mengadap ilahi. Selepas Aidilfitri jika mahu merancakkan Hari Seniman, itu terpulang mengikut kemampuan.

Cuma yang tidak seronoknya Hari Seniman tidak disemarakkan oleh penggiat seni sendiri. Ini hari mereka, bertambah meriah sekiranya masing-masing memuat naik ucapan di media sosial atau di akhbar agar peminat dan masyarakat menyedari 29 Mei itu Hari Seniman. Bukan nak kata, sememangnya Hari Seniman itu miskin promosi.

Kalaupun tiada ucapan buat Hari Seniman, memadailah ingatan diberi pada P Ramlee dan inilah diterjemahkan beberapa selebriti antaranya Datuk Shah Reza melalui akaun Instagramnya mencatatkan, “Al-Fatihah buat seorang insan seni istimewa yang menghambakan dirinya untuk kita tersenyum, ketawa, merenung, menangis dan juga insaf.”

Anak saudara P Ramlee juga penghibur, Rozita Rohaizad pula menulis begini: “Allahyarham Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih (22.3.1929 - 29.5.1973) aka Tan Sri P Ramlee also known as ‘daddy’ stepped in as my father figure when my father passed away. Contrary to what s bandied around beliau tidak hidup merempat atau daif. Berbadan besar, suka memasak dan selalu berlengging sambil bermain piano di rumah banglonya yang sekarang Museum P Ramlee. Al-fatihah buat arwah daddy. Miss you much.”

Agak menarik kenyataan Rozita itu agar mereka yang gemar tular kononnya P Ramlee hidup merempat atau daif di akhir usianya adalah tidak benar. Paling rancak memuat naik ucapan sempena 29 Mei adalah ahli kelab KFMMK yang rata-rata mereka berkongsi emosi ini, “Di pagi Selasa 29 Mei 1973, satu berita yang mengejutkan masyarakat seluruh negara iaitu kembalinya ke rahmatullah seorang seniman besar dalam dunia Melayu. Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih atau P Ramlee telah kembali kepada Maha pencipta-Nya di waktu Subuh akibat serangan jantung. Hari ini walaupun sudah 44 tahun pemergiannya, tetapi hasil karya seninya masih hidup segar berakar berumbi diseluruh ingatan. Benarlah katanya, “Aku hidup seribu tahun lagi”. Rehatlah wahai Seniman Agung, semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin di sisi Allah.”

Sekalipun pelbagai ucapan lebih mengenang detik kematian P Ramlee berbanding Hari Seniman, namun setidaknya tarikh 29 Mei itu tetap diingati oleh penggiat seni dan peminat tempatan. Cuma alangkah baik pada masa akan datang tiba detik itu, penggiat seni wajar merancakkan sendiri detik itu agar peminat masing-masing menyedari 29 Mei itu adalah Hari Seniman.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 1:07 AM