Tuan Asri Tuan Hussein

Kenapa Ramadan dan makanan sukar sekali dipisahkan? Soalan itu seringkali bermain di fikiran saya. Bukan saja di Malaysia, rasanya banyak negara lain di seluruh dunia juga begitu.

Berdasarkan gambar yang tersiar di media, seringkali dipaparkan juadah istimewa untuk berbuka puasa dan makanan tradisional, termasuk yang sebahagiannya hanya dijual pada Ramadan dan tidak pada bulan lain.

Pada setiap kali Ramadan akan muncullah bazar Ramadan di serata ceruk kampung dan taman perumahan di seluruh Malaysia yang menjual pelbagai juadah untuk berbuka puasa.

Ramadan tidak akan sempurna tanpa bazar Ramadan atau pincanglah Ramadan jika tiada bazarnya. Seolah-olah hingga begitu sekali keadaannya.

Pada Ramadan jugalah kita akan dapat menyaksikan manusia seolah-olah hilang kewarasan apabila sanggup membayar RM100 hingga RM200 seorang untuk sekali makan.

Itulah harga bagi juadah berbuka puasa atau lebih popular sebagai bufet Ramadan untuk restoran bertaraf eksklusif dan di hotel empat atau lima bintang.

Saya berani jamin, harga RM100 hingga RM200 untuk satu kepala itu tidak berlaku pada bulan lain, tapi hanya pada Ramadan. Kalau di luar Ramadan, orang akan menyumpah seranah jika harga semahal itu ditetapkan, namun ramai reda atau setuju menerimanya pada Ramadan.

Kenapa ya jadi begitu? Sedangkan ketika Ramadan umat Islam berpuasa, maknanya tidak makan dan tidak minum, selain tidak dibenarkan melakukan perbuatan yang membatalkan ibadat itu.

Kalau sudah tak makan dan tak minum, kenapa pula Ramadan amat sinonim dan seringkali dikaitkan dengan makanan? Kenapa Ramadan diberi gambaran atau tanggapan seolah-olah pesta makanan?

Congak demi congak dan selepas bertanya pendapat pada banyak pihak, selain membaca pelbagai maklumat mengenai Ramadan menerusi segala jenis sumber, akhirnya saya berasakan sudah menemui jawapan kepada persoalan itu.

Puncanya ialah kesilapan dan salah faham kita dalam menyambut serta malayani kehadiran Ramadan. Bagi kebanyakan kita, Ramadan difahami sebagai bulan untuk melaksanakan ibadat puasa semata-mata.

Apabila Ramadan hanya terbatas kepada amalan puasa, maka makan dan minum untuk berbuka sajalah yang difikirkan sepanjang tempoh berpuasa. Apabila perut lapar, memanglah selera makan kita membuak-buak.

Sebab itulah kita terdorong membeli makanan lebih daripada sekadar keperluan dan sanggup membayar harga yang lebih mahal daripada kebiasaan untuk memuaskan nafsu makan yang menguasai diri.

Sepatutnya, Ramadan wajib kita fahami dan sambut sebagai bulan untuk berpesta ibadat. Ini kerana, pada bulan ini setiap amalan kita akan diberi ganjaran pahala berlipat ganda,dikurniakan rahmat serta keampunan daripada Allah SWT.

Jika kita faham Ramadan adalah waktu untuk meningkatkan amal ibadat, insya-Allah kita tidak akan melihat bulan ini hanya untuk berpuasa, sebaliknya akan ‘pulun sakan’ untuk melakukan ibadat lain seperti memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

Apabila kita berusaha dan mampu memperbanyakkan semua amalan itu, pastinya kita tidak hanya fokus atau memikirkan mengenai makanan untuk berbuka puasa semata-mata.

Justeru, secara tidak langsung dapatlah kita memisahkan perkaitan yang rapat antara Ramadan dan makanan. Dapatlah juga kita membuang persepsi Ramadan sekadar bazar Ramadan atau bufet Ramadan dengan harga makanan yang sukar diterima akal.

Untuk orang ramai lebih sedar dan faham bahawa Ramadan itu bulan pesta ibadat, saya berpendapat agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) perlu mengadakan program yang bersesuaian.

Pada masa ini, JAKIM bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL) menganjurkan program Iftar@KL 2017 di Dataran Merdeka pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan, bermula malam ini.

Biarpun antara pengisian program ini termasuk solat sunat Tarawih dan tazkirah agama, namun ramai yang hanya melihat ia lebih kepada program makan beramai-ramai disebabkan perkataan iftar yang dijadikan nama program.

Oleh itu, pada hemat saya ada baiknya nama program ini ditukar kepada yang lebih sesuai agar turut menonjolkan aktiviti solat berjemaah Maghrib dan Isyak, solat sunat Tarawih serta tazkirah yang diadakan.

Selain itu, alangkah baik juga jika JAIN menganjurkan pelbagai program di negeri masing-masing yang aktivitinya dapat memberi minat dan kefahaman bahawa Ramadan adalah masa untuk memperbanyakkan ibadat, bukan untuk makan dengan lebih banyak.

Pada masa ini, memang sudah wujud program seperti itu, namun ia hanya berskala kecil dan berasingan iaitu di peringkat masjid saja. Oleh itu, wajar ia dinaik taraf ke skala lebih besar supaya dapat memberi impak yang lebih menyeluruh.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Jun 2017 @ 5:23 AM