VALVE giat membangunkan permainan Half-Life terbaharu dalam versi Realiti Maya.
Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


JUDUL permainan Half-Life keluaran Valve sememangnya permainan paling epik pernah dilancarkan kira-kira dua dekad lalu dan ia antara permainan mempunyai plot kempen yang panjang.

Pemain juga didedahkan peperangan dengan makhluk daripada dimensi lain dan ia judul wajib untuk dimainkan pada ketika itu.

Namun, selepas dua dekad berlalu, Valve seperti melupakan judul epik mereka yang pernah mempunyai jutaan pemain di seluruh dunia malah sehingga kini, masih wujud kumpulan pemain yang mengulangi permainan mereka.

Peminat judul berkenaan sudah lama menanti kemunculan semula atau siri selanjutnya dalam Half-Life tambahan pula, kemajuan unit pemproses grafik (GPU) pastinya memberi kesan sangat positif jika judul itu dibangunkan semula.

Baru-baru ini, Valve mengumumkan mereka akan membangunkan semula permainan itu dan judul terbaharu mereka dikenali sebagai Half-Life: Alyx menerusi platfrom Permainan Realiti Maya (VR Game).

Valve juga tidak menafikan siri sama mungkin akan dibangunkan untuk platform desktop selain VR yang sedang giat dilaksanakan.

Menerusi kenyataan Valve, judul terbaharu Half-Life itu akan dilancarkan pada Mac 2020 dan ia adalah siri terkini untuk judul berkenaan selepas pelancaran Half-Life Episod Dua pada 2007.

Pembangun permainan itu juga menegaskan mereka tidak mahu mengambil risiko dengan melakukan pembangunan skala besar untuk judul berkenaan kerana bimbang mengecewakan.

Jurucakap Valve menyatakan ia bergantung kepada sambutan Half-Life: Alyx dan jika ia satu judul yang mendapat sambutan baik, pihaknya akan memikirkan untuk mengembangkan lagi siri itu.

Menerangkan berhubung siri terbaharu berkenaan, Valve memberi gambaran bahawa Half-Life:Alyx adalah siri prekuel berdasarkan judul sebelum ini iaitu latar masa sebelum tragedi yang berlaku ketika Half-Life 2.

Permainan berkenaan mungkin mempunyai durasi masa permainan yang singkat dan ia lebih mirip kepada versi demonstrasi bagi mengukur sambutan pemain secara keseluruhannya.

Valve tidak menerangkan secara terperinci berhubung maklumat permainan berkenaan dan hanya menyatakan pengumuman lanjut berkenaan projek itu akan dibuat tidak lama lagi.

Wujud juga andaian judul berkenaan mungkin akan dilancarkan secara versi penuh selepas versi permainan VR memandangkan terlalu banyak judul permainan yang mirip kepada Half-Life.

Permainan itu perlu menampilkan kelainan dan keunikan tersendiri supaya menarik minat pemain untuk kembali merasai dunia Half-Life yang pernah popular suatu ketika dulu.

HALF-Life: Alyx siri prekuel berdasarkan judul sebelum ini iaitu latar masa sebelum tragedi yang berlaku ketika Half-Life 2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 12:06 PM