RANSOMWARE sasar serang komputer peribadi. GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENINGKATAN sehingga 58 peratus serangan Ransomware di negara ini dan kebanyakannya disasarkan kepada peranti pintar milik pengguna.

Itu adalah dapatan daripada firma keselamatan siber terkemuka, Kaspersky yang turut menjelaskan bahawa Malaysia antara negara yang dikesan paling banyak berlaku serangan perisian hasad terbabit.

Kaspersky juga menjelaskan bahawa kebanyakan serangan berlaku kepada peranti yang menggunakan sistem operasi Android dan ia mengakibatkan kedudukan negara jatuh daripada tempat ke 36 dan terbaru di tangga 17 sebagai negara paling banyak diserang perisian Ransomware.

Firma itu dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa Ransomware sudah berubah daripada corak serangan sebelum ini yang menyasarkan komputer peribadi dan kini lebih kepada peranti pintar.

Berdasarkan statistik, serangan pada komputer peribadi banyak dilakukan oleh Ransomware daripada jenis ‘Cryptolocker’ dan ia adalah perisian hasad popular.

Modus operandi serangan adalah fail yang disimpan di dalam komputer milik mangsa tidak boleh diakses dan ia akan meminta pengguna membayar sejumlah wang untuk membuka semula data yang sudah dikunci.

Selain Ransomware daripada jenis Cryptolocker, perisian hasad lain yang turut popular adalah ‘blocker’ apabila ia akan menghalang sistem operasi daripada berfungsi seperti biasa.

Modus operandi juga sama apabila mangsa diminta untuk membayar sejumlah wang kepada penggodam jika mahu menggunakan semula peranti pintar mereka.

Kaspersky turut menyatakan bahawa serangan perisian jenis ini banyak berlaku kepada pengguna sistem operasi Android dan firma berkenaan menasihatkan kepada orang awam supaya lebih berhati-hati terutamanya ketika memuat turun sesuatu aplikasi.

Serangan siber kini tidak tertumpu kepada kaedah konvensional apabila sasaran diberikan kepada pengguna komputer saja sebaliknya ia sudah berubah kepada peranti pintar.

Ia berlaku kerana hampir semua pengguna di negara ini memiliki peranti pintar dan menggunakan peralatan itu untuk menyimpan data sensitif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 5:45 PM