APPLE catat pendapatan tinggi selepas pelancaran barisan produk baharu.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


APPLE awal minggu lalu mengumumkan keputusan kewangan fiskal mereka untuk suku keempat 2019 yang memperlihatkan pendapatan RM256 juta iaitu peningkatan dua peratus berbanding 2018.

Ia adalah keputusan kewangan yang paling tinggi untuk suku keempat dan bertitik tolak kepada pertumbuhan daripada perkhidmatan, peranti boleh pakai dan penjualan iPad.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook pada satu kenyataan berkata, Apple menerusi pelbagai barisan peranti mudah alih termasuk perkakasan aksesori mendapat sambutan yang sangat baik dan ia turut ditambah dengan pengeluaran iPhone generasi baharu termasuk AirPods Pro dan pelancaran Apple TV+.

“Kami membuat kesimpulan suku keempat bagi tahun kewangan fiskal adalah yang paling tinggi dan rekod buat kami.

“Saya yakin ia dipacu oleh pengeluaran beberapa peranti baharu milik kami,” katanya.

Beliau berkata, pendapatan itu diperoleh selepas pelancaran produk baharu mereka membabitkan peranti iPhone, Airpods Pro, iPad, perkhidmatan AppleTV+ dan Apple Arcade.

Pada masa sama, Lembaga Pengarah Apple sudah mengisytiharkan dividen tunai pada sekitar RM3 sesaham biasa syarikat dan ia dibayar pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 9:23 AM