SAMSUNG Galaxy Fold menggabungkan ciri hibrid rekaan telefon pintar dan tablet sekali gus memberikan dimensi baru dalam peranti mudah alih. FOTO NSTP
Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Dimensi baharu peranti mudah alih yang menggabungkan ciri hibrid telefon pintar dan sebuah tablet.

Itu kesimpulan yang boleh dibuat apabila melihat prestasi dan rekaan mengagumkan peranti baharu keluaran Samsung iaitu Galaxy Fold.

Peranti eksklusif itu menggabungkan dua ciri paling penting iaitu telefon pintar untuk kegunaan harian dan tablet bagi pengguna yang memerlukan skrin paparan lebih besar.

Lebih unik apabila peranti itu adalah yang pertama menggunakan teknologi skrin paparan boleh lipat, sekali gus memberikan perubahan paling drastik untuk kepenggunaan peranti mudah alih.

Sebelum ini, masalah utama yang sering dihadapi pengguna telefon pintar adalah skrin paparan peranti mereka adalah terhad dan memerlukan pengguna untuk melakukan arahan jari di skrin jika ingin melihat carta yang mempunyai data padat.

Keadaan itu juga menyukarkan pengguna terutama kepada individu yang sering melakukan rujukan data di dalam tugasan harian mereka, jadi langkah penyelesaian adalah mendapatkan tablet sebagai peranti sokongan.

Ia sebenarnya kurang praktikal apabila pengguna perlu membawa dua peranti mudah alih pada masa yang sama termasuk dua sambungan pengecas.

Bagi semua masalah berkenaan, Samsung bijak melakukan pengubahsuaian dan berani menampilkan peranti hibrid menggabungkan dua ciri iaitu fungsi telefon pintar dan tablet dalam satu peranti saja.

Galaxy Fold bukan saja sesuai untuk tugasan harian malah jika anda

kaki permainan mudah alih, peranti berkenaan memberi pengalaman yang berbeza.

Namun, kekurangan yang jelas kepada peranti ini adalah harga agak mahal, manakala spesifikasi dan prestasi sangat mengagumkan untuk rekaan yang begitu unik lagi futuristik.

Menyentuh aspek spesifikasi, Galaxy Fold menggunakan pemproses Snapdragon 855 dengan rekaan binaan 7nm yang dipadankan bersama keupayaan memori (RAM) sebanyak 12GB.

Skrin pula berkeluasan 7.3 inci dengan panel paparan Dynamic AMOLED untuk bukaan penuh, manakala bagi paparan kedua berkeluasan 4.6 inci.

Ia juga didatangkan dengan tiga lensa di bahagian belakang dengan 12 megapiksel (MP) untuk sudut lebar yang dilengkapi sensor OIS, 12MP lensa telefoto dan 16MP sudut ultra lebar.

Bagi kamera swafoto pulang dilengkapi lensa berkembar dengan keupayaan 10MP sudut lebar dan 8MP untuk sensor kedalaman untuk menghasilkan gambar lebih baik.

Secara keseluruhannya, Galaxy Fold adalah sebuah peranti futuristik yang memberikan lebih kefungsian kepada pengguna terutama spesifikasi yang sangat baik.

Spesifikasi

• Pemproses: Snapdragon 855

• RAM: 12GB

• Storan: 512GB

• Kamera utama: 12MP + 12MP + 16MP

• Kamera swafoto: 10MP + 8MP

• Bateri: 4,380mAh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 11:01 AM