Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Jika anda aktif bersukan dan mahu memantau setiap rutin harian, sudah pasti peranti jam pintar Huawei Watch GT jawapan terbaik.

Pengguna boleh mendapatkan peranti pintar itu bermula hari ini di semua kedai Huawei seluruh negara dengan versi Huawei Watch GT 2 46mm bermula pada harga RM799.

Peranti pintar itu didatangkan dengan pemuka bersaiz 46mm dan 42mm bersesuaian untuk pengguna lelaki atau wanita dengan cara hidup aktif, namun mengekalkan konsep fesyen terkini.

Jam pintar Huawei Watch GT 2 dilengkapi pemproses Kirin dengan cip Kecerdasan Buatan (AI) yang menawarkan pelbagai ciri khusus.

Huawei Malaysia menawarkan hadiah istimewa apabila pengguna membeli Huawei Watch GT 2 dengan pemilihan tali jam pintar bernilai RM69 supaya sesuai dengan cita rasa pembeli.

Peranti pintar itu dikuasakan dengan cip pemproses Kirin A1 yang diintegrasikan bersama unit pemproses lanjutan Bluetooth, unit pemproses audio dan penggunaan bateri yang efisien.

Bateri Huawei Watch GT 2 mampu bertahan selama 14 hari tanpa perlu dicas dan ia turut dilengkapi beberapa ciri khusus antaranya pemantauan pintar kadar denyutan jantung, fungsi notifikasi panggilan dan beberapa ciri lain.

Ia juga boleh melakukan panggilan menerusi Bluetooth lebih 30 minit termasuk jam pintar berkenaan boleh dijadikan pemain muzik peribadi.

Jam itu juga boleh disambungkan dengan mana-mana telefon pintar Huawei dan melakukan panggilan menerusi Watch GT 2 pada jarak sehingga 150 meter tanpa ada sebarang gangguan.

Menerusi mod sukan, Huawei Watch GT 2 menyokong lebih 15 jenis sukan termasuk lapan sukan aktiviti luar seperti berlari, berjalan, memanjat, mendaki, berbasikal dan triathlon.

Peranti pintar itu juga menyokong pemantauan penuh kepada pemakainya dengan 190 jenis data termasuk maklumat analisis prasenaman untuk pelbagai sukan, rakaman analisis data ketika senaman dan nasihat profesional.

Ia umpama pemakai mempunyai jurulatih profesional untuk memastikan aktiviti riadah seharian lebih selamat dan baik untuk kesihatan secara keseluruhannya.

Teknologi Huawei TruRelax yang turut ditampilkan dalam jam pintar berkenaan membantu pengguna untuk melihat kadar tekanan seharian dan melakukan ingatan kepada pemakainya untuk bangun dan bergerak seketika.

Pengguna yang mahu maklumat lanjut boleh mengunjungi laman web http://consumer.HUAWEI.com atau melawat laman Facebook www.facebook.com/HUAWEIMobileMY.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:10 AM