GOOGLE mengumumkan dua peranti baharu mereka yang masih menggunakan tetapan dua lensa
Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Google secara rasminya melancarkan peranti terbaharu mereka iaitu Google Pixel 4 XL awal minggu lalu namun tiada apa yang memeranjatkan kerana hampir 99 peratus maklumat berkaitan peranti itu sudah tertiris sejak beberapa bulan lalu.

Bukan hanya spesifikasi serta rekaan fizikal saja yang tertiris malah beberapa portal pernah mengeluarkan video berdurasi pendek terhadap kefungsian peranti itu secara menyeluruh.

Menerusi majlis pengumuman produk baharu Google, syarikat gergasi itu memperkenalkan dua variasi peranti pintar mereka iaitu Pixel 4 dan Pixel 4 XL.

Perbezaan ketara menerusi dua variasi itu hanya terletak kepada kapasiti bateri serta saiz skrin manakala spesifikasi lain sama dengan Pixel 4 XL iaitu peranti kelas tinggi miliknya.

Menyentuh spesifikasi, Pixel 4 menggunakan skrin berkeluaran 5.7 inci dengan keupayaan paparan Definisi Penuh Dipertingkatkaan (FHD+) bersama paparan ‘Smooth Display’ dengan kadar segar semula 90Hz.

Berbeza dengan Pixel 4 XL, peranti itu menggunakan skrin berkeluasan 6.3 inci dengan paparan QHD+ dan turut didatangkan dengan kadar skrin semula 90Hz.

Kedua-dua variasi peranti itu menggunakan paparan OLED untuk menghasilkan tona warna yang lebih baik dan mempunyai sokongan teknologi Ambient EQ.

Kapasiti bateri untuk Pixel 4 adalah 2,800mAh manakala Pixel 4 XL menggunakan 3,700mAh. Jumlah bateri berkenaan jauh lebih rendah berbanding beberapa peranti premium yang lain.

Telefon pintar berkenaan menggunakan pemproses kelas perdana keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 855 yang dipadankan dengan memori (RAM) 6GB bersama storan 64GB atau 128GB berdasarkan pilihan pengguna.

Menyentuh aspek tetapan kamera, peranti ini masih menggunakan kamera dua lensa yang menggabungkan 12MP Pixel Berkembar dan 16MP lensa telefoto.

Walaupun dengan kekurangan keupayaan kamera keluaran Pixel 4 ini, ia masih satu peranti yang baik kerana menggunakan spesifikasi terkini namun tetapan dua lensa dianggap kurang menyengat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:05 AM