PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap merasmikan Pameran Teknologi Mudah Alih 5G di Putrajaya, April lalu. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

MALAYSIA bakal menjadi antara yang pertama di Asia untuk memanfaatkan teknologi rangkaian generasi kelima (5G) dengan pelancaran projek demonstrasi 5G di seluruh negara pada bulan depan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Persatuan GSM (GSMA) Mats Granryd berkata, Malaysia perlu mengambil langkah secara beransur-ansur dan berhati-hati dalam melaksanakan 5G bagi mendapatkan lebih banyak ruang dan masa untuk bereksperimen dan belajar daripada negara yang sudah dalam fasa maju dalam pelaksanaan 5G.

“Bukan mudah untuk menjadi yang pertama (melaksanakan 5G). Mungkin Malaysia boleh menjadi nombor dua atau tiga kerana ia akan memberikan lebih banyak ruang untuk belajar daripada kesilapan dilakukan pihak lain.

“Tetapi Malaysia juga tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam memanfaatkan 5G, walaupun teknologi itu masih belum boleh didapati secara meluas, kerana proses untuk guna pakainya boleh berlarutan selama beberapa tahun,” katanya kepada Bernama.

GSMA ialah badan perdagangan yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia.

Baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak berkata projek demonstrasi 5G akan dilaksanakan di 32 tapak 5G di enam negeri - Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Granryd berkata, teknologi 5G akan menyediakan sokongan kukuh untuk aktiviti harian, membolehkan transaksi perniagaan berjalan lancar dan lebih ekonomik, berikutan penyelenggaraan bagi teknologi 3G akan menjadi mahal dengan kemajuan pesat teknologi global.

“Penyelenggaraan 3G akan lebih mahal daripada 5G kerana ia teknologi lama. Lebih tinggi G, ia menjadi lebih efisien disebabkan dilengkapi lebih banyak penyelesaian pintar.

“Akhirnya, vendor akan berhenti mengeluarkan 3G dan mungkin juga produk teknologi 2G, jadi daripada perspektif itu, ia akan menjadi lebih rumit untuk menjalankan penyelenggaraan bagi rangkaian itu,” katanya.

Daripada perspektif global, Granryd berkata pengendali secara berperingkat telah melupuskan infrastruktur rangkaian 2G dan juga sesetengah 3G mereka untuk berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

“Rangkaian 2G hanya menawarkan kesalinghubungan baik daripada perspektif suara manakala teknologi 3G adalah antara 2G dan 4G. Oleh itu, ada pengendali telah memutuskan untuk menutup 3G dan fokus pada 4G, dan itu yang sepatutnya menjadi hala tuju Malaysia,” katanya.

Naik taraf rangkaian adalah penting untuk menyokong peningkatan jumlah peranti untuk memenuhi permintaan bagi akses internet, banyak daripadanya memerlukan jalur lebar pada jumlah tertentu untuk berfungsi dengan normal, dan 4G tidak lagi memenuhi semua keperluan itu, katanya.

“Rangkaian 5G dengan mudah dapat memahami jenis data yang diminta, dan juga mampu beralih ke mode kuasa lebih rendah apabila tidak digunakan, dan beralih ke mode kuasa lebih tinggi untuk perkara seperti penstriman video berdefinisi tinggi,” kata Granryd.

Ditanya mengenai kesediaan Malaysia dari segi infrastruktur dan permintaan untuk 5G, beliau menekankan bahawa infrastruktur dan rangkaian 3G dan 4G perlu dikekalkan sebelum menggunakan 5G kerana ia bukan teknologi yang tersendiri.

“Anda mesti mempunyai rangkaian 4G sebelum dapat menggunakan 5G. Oleh itu, membina rangkaian 4G adalah sama pentingnya dengan 5G, ” katanya, mencadangkan agar Malaysia secara serentak menyebarkan aplikasi 4G yang menarik untuk manfaat pengguna, industri dan masyarakat’’.

Granryd juga berpendapat Malaysia perlu menggalakkan kerjasama antara pengendali untuk membangunkan aplikasi.

Sementara itu, beliau berkata, GSMA menjalankan libat urus dengan usahawan, kementerian dan pemain industri Malaysia awal tahun ini untuk mendapat pemahaman yang baik mengenai apa yang sedang berlaku di Malaysia.

“Kami juga melihat isu dan peluang di Malaysia dan bagaimana GSMA boleh membantu,” katanya.

Menurutnya, satu daripada cabaran yang dihadapi sektor domestik adalah peruntukan spektrum.

“Terdapat isu mengenai spektrum yang cukup dan ada perbincangan yang berterusan mengenai gelombang 700 megahertz (MHz), yang merupakan gelombang yang sangat penting.

“Ia sedang digunakan di banyak negara dan Malaysia masih membincangkan mengenai penggunaan 700 MHz,” katanya.

Perbincangan mengenai perkara berkaitan peruntukan spektrum telah berlaku sejak tahun lepas, sementara Al-Ishsal daripada SKMM berkata laporan akhir mengenai penerapan teknologi mudah alih 5G negara dijangka selesai pada bulan ini.

Laporan interim oleh Pasukan Petugas Khas 5G Kebangsaan akan dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, berikutan teknologi 5G di Malaysia dijangka dilancarkan pada tahun 2021.

Setakat ini, lapan syarikat komited untuk pelaburan awal sebanyak RM116 juta untuk projek demonstrasi 5G dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Syarikat itu ialah Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, Digi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd dan UMobile Sdn Bhd.

Mengulas mengenai kos pelaksanaan 5G, Granryd berkata daripada perspektif global, GSMA tidak mejangkakan peningkatan besar dalam perbelanjaan modal.

“Kami tidak mengunjurkan akan berlaku kenaikan ketara dalam perbelanjaan modal, kami melihatnya sebagai pengganti beberapa pelaburan lain dalam 3G dan 4G.

“Itulah sebabnya adalah penting bagi pengendali untuk membuat keputusan mengenai apa yang perlu tutup atau apa yang mereka harus berhenti menyokong untuk mendapatkan wang yang mencukupi untuk penggunaan G seterusnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 3:06 PM