SURFACE Duo menggunakan dua skrin sebesar 5.6 inci dan ia fleksibel serta boleh berpusing sehingga 360 darjah. FOTO: AFP
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


MICROSOFT mengejutkan ramai pihak apabila memperkenalkan peranti boleh lipat pertama mereka yang dikenali sebagai Surface Duo yang turut menggunakan sistem operasi Android.

Peranti berkenaan diperkenalkan ketika Majlis Microsoft Surface 2019 selain beberapa peranti baharu lain.

Rekaan peranti berkenaan menggunakan skrin berkembar mirip laptop Microsoft Surface Neo namun dalam saiz yang lebih kecil.

Surface Duo menggunakan dua skrin sebesar 5.6 inci dan ia fleksibel serta boleh berpusing sehingga 360 darjah dan jika dilipat boleh menjadi 8.3 inci tablet.

Setiap paparan berkenaan boleh menjalankan aplikasi berbeza pada satu-satu masa dan ia juga boleh ditukar menjadi mod paparan landskap serta membolehkan skrin kedua menjadi papan kekunci atau alat kawalan permainan.

Berdasarkan beberapa laporan portal teknologi menyatakan bahawa Surface Duo menggunakan pemproses Snapdragon 855 namun Microsoft menyatakan bahawa rekaan akhir peranti itu masih belum diputuskan.

Pada masa sama, Microsoft turut memperkenalkan 10 produk terbaru mereka antaranya Windows 10X, Surface Neo, Surface Pro X dan Surface Pro 7.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 4:18 PM