MATA wang maya digunakan secara meluas dalam pasaran gelap termasuk penjualan senjata api.
Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Tanpa bukti transaksi forensik digital dan kebanyakannya digunakan dalam pasaran gelap.

Itu kriteria mata wang kripto yang sering digunakan untuk transaksi di pasaran gelap seperti membeli bahan terlarang termasuk senjata api.

Mata wang digital ini dipercayai dicipta pakar komputer dan ia sudah berkembang sejak sedekad lalu malah semakin digunakan termasuk dalam satu daripada komoditi pelaburan.

Bagaimanapun, sisi gelap mata wang digital ini bermula apabila ia tidak menggunakan mana-mana pihak berkuasa sebagai badan penyelia, malah pengguna A boleh melakukan transaksi kepada pengguna B tanpa menggunakan khidmat institusi kewangan.

Akibatnya, mata wang berkenaan menjadi pusat jenayah terancang dan lebih serius, organisasi pengganas turut menggunakan sistem berkenaan untuk melakukan pemindahan dana memandangkan ia tidak meninggalkan jejak forensik.


SIRAJ menunjukkan laman sesawang yang menjual data kad kredit dalam talian yang berleluasa.

Urus niaga mata wang kripto tidak dikawal selia oleh bank pusat atau agensi penyelia kewangan yang dilantik, sekali gus meletakkan pengguna dalam risiko yang besar tanpa disedari.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, mata wang ini adalah berbentuk mata wang maya dan ia digelar kripto kerana pengaliran wang berkenaan dikawal mesin kriptografi.

Beliau berkata, mata wang maya ini digunakan secara meluas dalam pasaran gelap termasuk penjualan senjata api memandangkan pihak berkuasa sukar untuk menjejaki forensik digital antara dua pihak.

“Ia boleh dikatakan hampir mustahil untuk menjejak transaksi yang dibuat menerusi mata wang maya. Oleh itu, mata wang jenis ini menjadi pilihan bagi kegiatan jenayah, penjualan atau pembelian barang terlarang seperti senjata api dan dadah.

“Lebih membimbangkan apabila penyaluran wang dana kepada organisasi pengganas turut menggunakan medium sama dan ia memberi isyarat jelas bahawa platform mata wang maya ini memberi implikasi negatif yang sangat besar berbanding sudut positif,” katanya kepada #ITMetro, baru-baru ini.

Bagi landskap di negara ini, Siraj berkata, hanya wang dikeluarkan dan dikawal Akta Bank Negara Malaysia (BNM) 2009 dan Bahagian III Akta BNM 1958 yang diiktiraf.

Katanya, berdasarkan Seksyen 20 BNM 1958 pula menyatakan bahawa hanya BNM boleh mengeluarkan mata wang di Malaysia dan sebarang bentuk mata wang yang dikeluarkan pihak lain adalah tidak sah.

“Mata wang jenis ini yang berasaskan digital sangat terdedah kepada serangan siber dan senario itu sudah berlaku beberapa tahun lalu apabila platform NiceHash kehilangan 4,700 bitcoin bernilai RM260 juta selepas ia digodam individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab.

“Aset yang hilang tidak boleh diperoleh kembali kerana ia tidak dilindungi mana-mana insurans seperti sistem kewangan konvensional milik institusi perbankan yang lain.

“Platform ini juga jika diterima kerajaan akan meningkatkan kadar rasuah. Bagaimana pihak berkuasa mahu menyiasat transaksi rasuah jika ia dilakukan dalam bentuk mata wang kripto. Siasatan untuk menemui bukti transaksi forensik boleh dikatakan sebagai mustahil,” katanya.

Menurutnya, bentuk mata wang ini mempunyai lebih banyak mudarat daripada aspek positif dan MCCA mengharapkan supaya satu bentuk kajian menyeluruh membabitkan semua pihak berkepentingan perlu dilaksanakan termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 12:08 PM