ADVANCED Micro Devices (AMD) mengumumkan pelancaran global generasi pemproses baharu iaitu siri Ryzen PRO 3000.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENGELUAR pemproses terkemuka, Advanced Micro Devices (AMD) mengumumkan pelancaran global generasi pemproses baharu iaitu siri Ryzen PRO 3000 untuk barisan desktop termasuk daripada siri berkenaan yang menyokong keupayaan grafik Vega.

Bermula suku keempat tahun ini, dua jenama pengeluar iaitu HP dan Lenovo akan menggunakan pemproses AMD Ryzen PRO dan Athlon PRO bagi barisan produk desktop mereka.

Pengurus Besar AMD Saied Moshkelani berkata, pelancaran generasi baru pemproses Ryzen PRO 3000 memberi fokus kepada sektor komersial atau pengusaha perniagaan kecil dan ini sejajar dengan matlamat mereka pada tahun ini.

“Pemproses generasi ini sememangnya direka secara efisien bagi menggalas tugas berkaitan pemprosesan data, rekaan dan pembuatan.

“Produk baru AMD ini juga menawarkan keupayaan kepada sektor perniagaan untuk melakukan pelbagai tugas dalam satu masa tanpa sebarang masalah,” katanya.

Pemproses daripada siri AMD Ryzen 9 PRO 3900, Ryzen 7 PRO 3700, dan Ryzen 5 PRO 3600 direka berasaskan kepada infrastruktur pemproses teknologi 7nm serta menggunakan teras binaan daripada ‘Zen 2’.

Ia juga menawarkan kuasa prestasi pemproses sehingga 12 teras dan 24 ‘Threads’ sesuai untuk kegunaan industri selain mempunyai keupayaan yang mengagumkan.

Berdasarkan bandingan prestasi, Ryzen 9 PRO 3900 dan Ryzen 7 PRO 3700 menawarkan dua kali kepantasan berbanding produk lain yang berada di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 11:48 AM