SAMSUNG Galaxy A50S dan A30S tampil spesifikasi lebih baik berbanding model terdahulu.
Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


Empat peranti daripada kelas pertengahan milik Samsung dinaik taraf bagi aspek spesifikasinya menerusi siri Galaxy A dengan kod nama baharu bermula A10S, A20S, A30S dan A50S.

Awal minggu lalu, Samsung melancarkan dua daripada empat model kelas pertengahan iaitu Samsung Galaxy A30S dan A50S yang menampilkan spesifikasi lebih baik berbanding model sebelumnya.

Menyentuh aspek spesifikasi, Galaxy A50S dikuasakan dengan pemproses Exynos 9611 yang menggunakan rekaan 10nm selain dipadankan keupayaan memori (RAM) 6GB untuk memastikan kelancaran sebarang aplikasi.

Peranti A50S berkenaan menampilkan keupayaan kamera tetapan tiga lensa iaitu kamera utama berkemampuan 48 megapixel (MP), lensa kedua 8MP sudut ultra lebar dan 5MP kamera sensor kedalaman untuk menghasilkan gambar lebih berkualiti.

Berbanding model terdahulu iaitu Galaxy A50 yang hanya menggunakan 25MP, padanan spesifikasi baru itu sesuai untuk generasi Z yang berkait rapat dengan platform media sosial.

Manakala bagi Galaxy A30S dikuasakan dengan pemproses Exynos 7904 dan dipadankan RAM 4GB untuk kelancaran operasi dan pengalaman lebih baik kepada pengguna.

Harga yang ditawarkan bagi Galaxy A50S adalah RM1,299 manakala A30S RM899 dan pengguna boleh mendapatkan peranti itu bermula 21 September lalu menerusi rakan niaga Samsung atau penjual bertauliah.

Bagi kedua-dua peranti itu, skrin berkeluasan 6.4 inci menggunakan paparan Super AMOLED dan kapasiti bateri 4,000mAh dengan teknologi pengecasan pantas 15W.

Ia juga didatangkan dengan tiga warna iaitu ‘Prism Crush Black’, ‘Prism Crush White’ dan ‘Prism Crush Green’ dengan rekaan holografik geometri di bahagian belakang peranti.

Ciri premium lain yang digunakan adalah sistem imbasan cap jari di bawah skrin yang biasanya digunakan untuk peranti kelas premium.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pemasaran Produk, IT dan Perniagaan Mudah Alih Samsung Malaysia, Luke Au berkata, syarikatnya melihat bahawa trend generasi muda adalah memerlukan peranti yang mempunyai tanda harga berpatutan selain keupayaan prestasi kamera yang baik.

“Keupayaan kamera bagi peranti Galaxy A50S lebih baik dibandingkan dengan telefon pintar kelas premium pada tahun lalu iaitu Samsung Galaxy S9.

“Kamera peranti ini menghasilkan gambar lebih jelas dan mampu untuk beroperasi dalam keadaan kurang pencahayaan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 8:51 AM