AMD Ryzen 7 3800X memberikan nilai kuasa yang sangat baik
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


TUGASAN sintesis imej atau video animasi sememangnya perlu mengambil masa agak panjang bergantung kepada pemproses dan perkakasan lain milik pengguna.

Ada kalanya memakan masa berjam-jam untuk menyiapkan satu kerja pendek.

Selain itu, kaki game juga tidak terlepas mahukan pemproses berkuasa, mempunyai kuasa teras yang sangat baik, prestasi haba atau termal mengagumkan namun penawaran harga berpatutan.

Untuk segmen pemproses desktop, hanya ada dua pengeluar iaitu sama ada pengguna memilih Intel yang sudah pastinya memerlukan dana perbelanjaan yang tinggi atau memilih Advanced Micro Devices (AMD).

AMD menawarkan prestasi lebih baik, rekaan pemproses terkini dan harga mampu milik dan bukan harga ‘bangsawan’.

Penulis ingin menyentuh istilah bangsawan itu digunakan komuniti peminat sukan elektronik bagi peralatan yang mahal.

Namun perlu diingat tidak semua peralatan dalam kelas bangsawan menawarkan prestasi seiring dengan harga.

Bagi segmen pemproses, AMD adalah juara baharu dan ia tidak perlu diperdebatkan lagi.

Perkara itu juga sudah diakui oleh Intel sendiri apabila AMD melancarkan generasi baharu pemprosesnya iaitu Ryzen siri 3000 dengan kuasa lebih baik dan harga mampu milik.

Kali ini, #ITMETRO akan memberikan sedikit nilai prestasi bagi pemproses AMD Ryzen 7 3800X yang pastinya menjadi idaman terutama individu yang melaksanakan tugasan sintesis.

Menyentuh aspek spesifikasinya, Ryzen 7 3800X didatangkan dengan lapan teras CPU dan mempunyai 16 Threads serta talaan kuasa pada mod biasa 3.9GHz dan untuk talaan maksimum pada 4.5GHz.

Pemproses ini mempunyai rekaan binaan TSMC 7nm FinFET iaitu rekaan terkini untuk pemproses generasi baharu dan AMD berjaya memberikan nilai prestasi sangat baik untuk produk terkini mereka.

Ryzen 7 3800X bukanlah produk kelas tertinggi milik AMD memandangkan mereka mempunyai Ryzen 9 3900X.

Berdasarkan laman pengujian prestasi, Cinebench memperlihatkan siri 3800X mampu menewaskan pemproses Intel siri 9900K dan menawarkan tiga peratus kuasa lebihan berbanding Intel.

Skor prestasi untuk penggunaan pelbagai teras (multi core) juga menunjukkan Ryzen 7 3800X menduduki tempat kedua dengan markah 4,974 manakala penguasa takhta adalah Ryzen 9 3900X dengan skor 7,089 dan pemproses Intel iaitu Intel Core i9-9900K pula menduduki tempat ketiga dengan markah 4,894.

Prestasi penggunaan teras tunggal menunjukkan markah sama untuk ketiga-tiga pemproses itu dan ia menunjukkan AMD menguasai prestasi penggunaan teras pelbagai.

Selain itu, tempoh tugasan sintesis untuk proses pengekodan bahan video resolusi 2160p 4K dalam kadar 60 bingkas sesaat (FPS) bagi perisian Adobe Premiere Pro menunjukkan penguasaan tiga tempat teratas oleh AMD.

AMD Ryzen 9 3900X mengambil masa 358 saat, Ryzen 7 3800X (400 saat) dan Ryzen 7 3700X (412 saat) manakala pemproses Intel hanya menduduki tempat keempat iaitu Intel Core i9-9900K dengan bacaan 437 saat.

Ujian prestasi itu menunjukkan siri Ryzen 7 3800X cukup berkuasa untuk melakukan pelbagai tugasan dalam satu masa malah sesuai untuk semua tugasan terutama sintesis video serta animasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 9:17 AM