IPHONE 11 akan dipasarkan di Malaysia bermula dengan RM3,399. -Foto Apple Inc
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


APPLE Inc memperkenalkan tiga model peranti telefon pintar baharu milik mereka iaitu iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max yang memfokuskan kepada keupayaan spesifikasi serta prestasi peranti.

Pengenalan produk yang ditunggu-tunggu itu dilakukan awal pagi tadi ketika majlis tahunan yang diadakan di Cupertine, California, Amerika Syarikat (AS).

Menyentuh dua peranti premium keluaran Apple iaitu iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max, kedua-dua peranti itu memiliki spesifikasi yang hampir sama namun dibezakan menerusi penambahbaikan pada prestasi kamera.

Aspek spesifikasi pula, iPhone 11 Pro didatangkan dengan skrin berkeluasan 5.8 inci manakala varian tinggi iaitu iPhone 11 Pro Max menggunakan saiz 6.5 inci mengekalkan rekaan bagi siri ‘Max’ iaitu hadir dengan skrin lebih besar.

Kedua-dua varian ini menggunakan skrin OLED untuk menghasilkan tona warna pada paparan lebih baik selain menawarkan sokongan HDR.

Peranti berkenaan menggunakan pemproses cip Apple A13 Bionic berbanding varian terdahulu yang menggunakan A12 dan penggunaan cip terbaru itu menawarkan 20 peratus kuasa lebih baik.

Keupayaan kamera pula, Apple menggunakan tetapan tiga lensa yang disusun membentuk segitiga dan rekaan itu sememangnya sangat berbeza dengan jenama telefon pintar yang lain.


IPHONE 11 PRO

Kamera utama menggunakan lensa berkeupayaan 12 megapixel (MP), lensa telefoto 12MP dan lensa ultra lebar 12MP.

Ini adalah kali pertama Apple menggunakan tetapan tiga lensa bagi peranti telefon pintar mereka dan menjanjikan hasil rakaman video serta gambar yang lebih berkualiti.

Prestasi bateri pula, iPhone 11 Pro memberikan empat jam lebihan masa penggunaan jika dibandingkan dengan iPhone XS manakala iPhone 11 Pro Max mula memberikan lebihan lima jam berbanding XS Max.

Lebih menarik apabila Apple kali ini akan menyertakan pengecas pantas 18W bersama pembelian iPhone tidak seperti sebelum ini apabila pengguna perlu membeli secara berasingan.

Tanda harga bagi iPhone 11 bermula RM3,399, iPhone 11 Pro RM4,899 manakala iPhone 11 Pro Max pada harga RM5,299 dan pengguna boleh melakukan pilihan storan 64GB, 256GB dan 512GB.


Pada majlis sama, Apple turut memperkenalkan beberapa produk baru mereka iaitu Apple Watch Series 5, Apple Arcade, Apple TV+ dan generasi baru iPad.

Untuk perkhidmatan terbaru mereka iaitu Apple TV+, ia akan dilancarkan pada 1 November depan dengan harga langganan sebanyak RM19.90 dan ia menawarkan sejumlah video berbentuk filem, rancangan televisyen, dokumentari dan sebagainya.

Bagi Apple Arcade pula, ia akan dilancarkan sepenuhnya pada 19 September ini membabitkan lebih 150 negara dengan harga langganan yang sama seperti Apple TV+.

Apple menjanjikan bahawa Apple Arcade menawarkan sejumlah kandungan eksklusif serta permainan yang mempunyai keupayaan grafik setaraf konsol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 9:51 AM