DZULKEFLY menyaksikan penyerahan plak penghargaan oleh Hasnul (kiri) kepada Ai Chin Lu. FOTO Bernama
BERNAMA

KERAJAAN negeri Johor merancang menggunakan domain johor.my dan johorbestari.my sebagai platform untuk pihaknya memperkenalkan identiti Johor, kepada pelabur asing selain memperkasakan ekonomi digital setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu akan direalisasikan dengan kerjasama MYNIC Berhad, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, yang menyediakan domain ‘.my’ dan beberapa perkhidmatan berkaitan.

“Saya difahamkan setakat ini, domain johorbestari.my telah pun mendapat kelulusan daripada kerajaan manakala johor.my dalam proses.

“Insyallah, kita akan melancarkan kedua-duanya dalam masa terdekat sebagai satu platform kepada pengenalan identiti Johor, khususnya kepada pelabur asing yang ingin mendapatkan maklumat boleh dipercayai mengenai kerajaan negeri ini, daripada agensi-agensi berkaitan.

Dalam masa sama, ia adalah permulaan kepada ekonomi digital, kerana menjadi platfrom untuk kita mendigitalkan usahawan industri mikro,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam anjuran MYNIC untuk meraikan 100 peserta mesyuarat agung tahunan Asia Pacific Top Level Domain Association (APLTD) di JohorBahru, malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan serta Pengerusi Lembaga APLTD, Ai Chin Lu.

Sementara itu, Hasnul Fadhly berkata, kerjasama MYNIC dengan kerajaan negeri itu, antara lain memastikan usahawan industri mikro negeri, dapat keluar daripada zon selesa dengan melakukan perniagaan secara dalam talian.

“Ini penting kerana dunia sekarang adalah dunia internet. Apabila mereka dapat dibantu untuk pergi (berniaga) secara dalam talian, kami berharap mereka dapat menggandakan pendapatan serta mempunyai kemungkinan untuk menjual produk ke luar negara.

“Jadi ini secara langsung turut akan membantu misi Johor mengurangkan migrasi sebab apabila perkara ini boleh dilakukan di kampung masing-masing untuk menjana pendapatan besar, maka tiada sebab untuk mereka nak datang ke sini (bandar),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 12:22 PM