ANALISIS menunjukkan pengendali Facebook mampu melakukan saringan pengguna.
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


PEMBACA kini cenderung memilih bahan bacaan digital menerusi platform media sosial terutama Facebook dan Twitter yang turut berfungsi sebagai ‘agregator’ berita.

Tahun lalu, Facebook dilaporkan mencatat perolehan RM233.46 bilion manakala jumlah pengguna aktif bulanannya pula mencecah 2.3 bilion menjadikannya antara syarikat paling bernilai di dunia.

Untuk membuat wang, Facebook tidak hanya memerlukan pengguna, tetapi pengguna yang aktif. Maka, Facebook perlu mengetahui bukan saja apa yang anda mungkin klik, tetapi penyebab mengapa anda mahu atau tidak mengklik.

Semakin hari semakin banyak kisah Facebook menyalahgunakan kelebihan sebagai media sosial paling berpengaruh untuk mengeksploitasi penggunanya.

Pada 2012, Facebook menjalankan eksperimen apabila ia memanipulasi maklumat yang disiar di akaun milik 689,000 pengguna.

Dalam uji kaji yang dijalankan bersama ahli akademik dari Universiti Cornell dan Universiti California, Facebook menapis ruangan ‘news feed’ pengguna membabitkan aliran komen, video, gambar dan pautan laman web yang dihantar pengguna lain.

Dapatan kajian itu memperlihatkan mereka mampu membuatkan pengguna berasa positif atau negatif menerusi proses yang dipanggil ‘penularan emosi’.

Dalam satu ujian, Facebook mengurangkan suapan mengandungi kandungan bersifat positif daripada kenalan pengguna yang diuji.

Ia didapati mampu mengubah ‘mood’ pengguna terbabit yang kurang membuat hantaran positif dan begitu juga uji kaji sebaliknya.

Pendek kata, Facebook mempunyai cara mengeksploitasi minda dan ‘angin’ anda. Mereka mampu buat anda gembira, sedih atau marah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Facebook menerima kecaman dan kritikan daripada banyak pihak termasuk beberapa bekas kakitangannya sendiri.


LAMAN sosial itu dilaporkan mencatatkan perolehan sebanyak RM233.46 bilion pada tahun lalu.

Bekas Presiden Facebook, Sean Parker pada 2017 mendakwa syarikat itu secara berterusan mengamalkan proses pemikiran untuk mencari cara supaya pengguna ‘ketagih’ dan melayari media sosial berkenaan sebanyak mungkin setiap hari.

“Bagaimana kami mengisi sebanyak mungkin masa dan perhatian anda secara sedar? Kesan yang tidak diingini ialah apabila jumlah pengguna mula mencecah angka satu atau dua bilion... ia secara literal mengubah hubungan anda dengan masyarakat dan sesama sendiri,” katanya.

Pada November tahun sama, bekas Naib Presiden (Pertumbuhan Pengguna) Facebook, Chaath Palihapitiya ketika berucap di Stanford Graduate School of Business di California, Amerika Syarikat (AS) dengan nada keras berkata, beliau amat kesal membantu medium itu menjadi media sosial terbesar.

Kritikan paling hebat kepada media sosial itu apabila pendedahan dilakukan terhadap hubung kait syarikat berkenaan dengan Cambridge Analytica (CA), sebuah firma perunding politik berpangkalan di Britain.

CA dikatakan mengumpul maklumat pengundi antaranya berkaitan demografi, perilaku pengguna, aktiviti Internet dan sumber peribadi serta awam.

Menurut akhbar The Guardian, CA menggunakan data berkaitan psikologi jutaan pengguna Facebook yang sebahagian besarnya tanpa keizinan pengguna.

Ia bertujuan mengeksploitasi dan mempengaruhi minda pengundi supaya memilih calon yang diingini iaitu pelanggan kepada CA.

Namun mahu atau tidak, pengguna perlu lebih bijak menangani dan menggunakan platform media sosial, sedar mengenai pengaruhnya terhadap diri kita, masyarakat dan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 9:44 AM