SONY Xperia 1 tampil dengan spesifikasi lebih moden dan cuba menyaingi beberapa jenama perdana lain.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENGELUAR barangan elektronik, Sony tidak berputus asa bagi segmen telefon pintar mereka apabila melancarkan Sony Xperia 1 dengan padanan spesifikasi yang baik setara dengan beberapa jenama perdana lain.

Peranti berkenaan menggunakan pemproses Snapdragon 855 (7nm) yang dipadankan bersama memori (RAM) 6GB bagi memastikan kelancaran peranti untuk beroperasi menggunakan sebarang aplikasi.

Skrin paparan peranti ini menggunakan skrin sesentuh jenis OLED berukuran 6.5 inci dan dilengkapi Corning Gorilla Glass 6 selain teknologi paparan Triluminos.

Peranti ini menggunakan storan kapasiti 128GB dan dilengkapi kad MikroSD yang menyokong storan sehingga 1TB.

Kamera utama telefon pintar ini menggunakan gabungan tiga lensa iaitu 12 megapixel (MP) untuk sudut lebar, 12MP lensa telefoto dan 12MP sudut ultra lebar.

Bagi kamera swafoto pula, ia dilengkapi 8MP sudut lebar dan mampu untuk merakam video dalam resolusi 1080p pada 30 bingkai sesaat.

Kapasiti bateri untuk telefon pintar ini adalah 3,300 mAh dan dilengkapi pengecas pantas 18W untuk memudahkan pengguna.

Berdasarkan penilaian beberapa laman web gajet menunjukkan peranti ini mempunyai kelebihan daripada sudut keunikan rekaan termasuk tona warna yang sangat baik.

Malah, telefon pintar ini juga berkeupayaan merakam video dalam resolusi 4K namun kekurangannya adalah tanda harga peranti ini sangat mahal.

Selain itu, keupayaan kamera tidak begitu mengagumkan seperti telefon pintar lain manakala skrin paparan akan menjadi terlalu gelap di bawah cahaya yang terang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 9:33 AM