Amaru, Goyo turut dilengkapi gajet khusus.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PERMAINAN penembak pandang pertama (FPS) secara taktikal, ‘Tom Clancy’s Rainbow Six: Siege’ (R6S) sudah memasuki tahun keempat sejak dilancarkan dan kini memasuki musim kedua dikenali sebagai ‘Operasi Ember Rise’.

Menerusi musim kedua, R6S memperkenalkan dua operator baharunya daripada pasukan khas tentera Peru dan Mexico iaitu ‘Amaru’ dan ‘Goyo’ yang turut dilengkapi gajet khusus.

Pengenalan dua operator baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan operator dalam R6S seramai 50 individu daripada pelbagai pasukan khas seluruh dunia.

Amaru memiliki gajet khusus iaitu senapang gegelut cangkuk (grapple hook) yang berkebolehan memasuki mana-mana pintu masuk, tingkap atau lubang pengudaraan yang wujud dalam sesebuah peta pertempuran.


RAINBOW Six Siege melancarkan operasi baharu dalam siri kedua untuk tahun keempat.

Bagi Goyo pula, operator ini memiliki gajet khusus iaitu pelindung boleh letup (blast shield) iaitu peranti berkenaan boleh diletakkan di mana-mana kawasan strategik dan turut dilengkapi bahan letupan untuk menyekat kemaraan musuh ataupun sebagai perangkap musuh.

Musim baharu R6S akan memberi ruang strategik taktikal yang sedikit berbeza kepada landskap permainan berkenaan terutama jika pemain bermain secara profesional di peringkat liga profesional R6S (Pro-League R6S).

Namun, pembangun permainan itu, Ubisoft turut memperkenalkan mekanisme lain iaitu pengenalan kepada ‘Battle Pass’ yang boleh dibeli oleh pemain.

Pengenalan Battle Pass berkenaan sangat mirip kepada permainan fenomena, ‘Fortnite’ apabila judul itu turut menggunakan konsep sama kepada pemain.


SISTEM Battle Pass mirip Fortnite akan diperkenalkan.

Berdasarkan satu video penerangan berkaitan Battle Pass bagi musim kedua, ia akan diperkenalkan secara fasa percubaan dan pelaksanaan penuh akan dibuat ketika musim ketiga kelak.

Perkara itu mengundang cemuhan daripada komuniti R6S antarabangsa apabila ada yang menyatakan Ubisoft mahu mengaut keuntungan sebanyak mungkin dengan pengenalan Battle Pass itu.

Battle Pass berkenaan akan mempunyai dua kaedah berbeza iaitu satu secara percuma dan pemain juga boleh membeli untuk mendapat barangan lain secara eksklusif.

Penulis merasakan bahawa pengenalan itu tidak menjadi kesalahan sebaliknya terpulang kepada pengguna kerana Battle Pass hanya menawarkan barangan kosmetik seperti persalinan uniform operator dan corak persenjataan.

Ia tidak mempengaruhi keseluruhan kandungan permainan dan hanya menawarkan nilai tambah dengan barangan eksklusif yang dijanjikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 9:10 AM