HUAWEI lancar pemproses AI milik mereka, Ascend 910.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SYARIKAT teknologi gergasi China iaitu Huawei melancarkan pemproses kecerdasan buatan, Ascend 910 yang didakwa sebagai cip paling berkuasa di dunia.

Pemproses itu juga bakal memberi prestasi lebih baik dalam semua perkara termasuk rangka kerja pengkomputeran AI untuk semua senario.

Syarikat yang berpangkalan di Shenzhen itu menerusi kenyataan media berkata, Ascend 910 akan digunakan untuk latihan model AI dan prestasi cip itu lebih baik daripada yang dijangkakan sebelumnya.

Huawei mengumumkan spesifikasi yang dirancang untuk pemproses AI yang baharu iaitu siri Ascend-Max pada tahun lalu sebagai sebahagian strategi syarikat 4xxnauntuk membina portfolio penuh AI termasuk semua senario AI.

Kenyataan itu juga menyatakan selepas pembangunan berterusan, keputusan ujian kini menunjukkan pemproses Ascend 910 mempunyai prestasi sangat baik dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah.

Ia kejayaan yang sangat besar memandangkan ujian awal menunjukkan keputusan sebaliknya namun selepas beberapa pengubahsuaian, cip itu memberi prestasi sangat baik.

Huawei juga melancarkan rangka kerja pengkomputeran AI bertujuan menyokong pembangunan aplikasi AI dalam semua senario.

Rangka kerja itu dijangka membuka sumber terbuka pada suku pertama tahun depan dan ia akan membawa syarikat itu kepada tahap yang lebih baik.

Gabungan cip serta kerangka berkenaan memberi keputusan kira-kira dua kali lebih pantas pada model latihan AI berbanding produk utama lain seperti TensorFlow.

Huawei akan terus melabur dalam pemproses AI untuk membangunkan kuasa pengkomputeran yang lebih banyak dan mampu dimiliki serta boleh disesuaikan dalam apa juga keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 8:50 AM