ANTENA bagi rangkaian 5G. FOTO AFP
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SYARIKAT gergasi elektronik, Huawei bersedia untuk melancarkan secara meluas infrastruktur jaringan Internet termaju iaitu 5G di seluruh Asia Pasifik.

Berdasarkan rekod semasa ketika Hari Inovasi Asia Pasifik Huawei yang diadakan di Chengdu, syarikat itu sudah mendapat lebih 50 kontrak komersial di seluruh dunia membabitkan 28 kontrak di Eropah, 11 di Timur Tengah, enam di Asia Pasifik, empat di Amerika Syarikat dan satu di rantau Afrika.

Secara umumnya, Asia Pacific adalah segmen pasaran pertama yang melancarkan jaringan 5G manakala Korea Selatan adalah negara pertama yang yang menggunakan jaringan berkenaan secara komersial.

Sejak jaringan 5G dilancarkan April lalu, jumlah pengguna 5G di negara berkenaan sudah mencecah 2 juta orang manakala China sedang giat membangunkan secara meluas jaringan berkenaan dan akan digunakan secara komersial tidak lama lagi.

Ketika ini, terdapat 35 pengendali telekomunikasi membabitkan 20 negara sudah melancarkan pelan 5G mereka manakala 33 negara sudah mengedarkan spektrum 5G mereka.

Presiden Institut Kajian Strategik Huawei, William Xu berkata, jaringan 5G berkenaan tiba pada masa yang sangat tepat apabila kini semua pihak mencari penyelesaian untuk rangkaian yang menawarkan kelajuan lebih baik untuk semua segmen dan permintaan industri.

“Secara lebih khusus, jaringan Internet termaju ini iaitu 5G boleh memberi nilai liputan yang sangat baik, kadar kuantiti data yang boleh dihantar (bandwidth) dan paling penting adalah sistem jaringan komputer yang boleh menghantar mesej dengan kadar kelewatan yang sangat minimum (low latency).

“Menerusi spektrum jaringan berkenaan, kita dapat manfaat yang pelbagai bermula daripada kemudahan jaringan Internet yang laju serta stabil sehingga kepada keperluan industri yang bersifat kompleks seperti segmen perubatan dan pembedahan secara maya.

“Kemajuan 5G ini akan membolehkan pelbagai aplikasi dimanfaatkan yang sebelum ini menjadi halangan berikutan masalah kelajuan penghantaran data yang sangat stabil,” katanya.

Beliau berkata, Huawei sentiasa optimis bahawa jaringan 5G ini akan dapat dibangunkan secara meluas sepanjang tahun ini dan menjelang beberapa tahun akan datang ia bakal menjadi jaringan utama di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 4:10 PM