Siri
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


SEGMEN pengeluar pemproses sememangnya sesuatu yang hangat diperkatakan dengan persaingan sihat antara dua syarikat terkemuka bagi komponen berkenaan iaitu Advanced Micro Devices (AMD) dan Intel.

Bagaimanapun, selepas pelancaran siri pemproses generasi Ryzen beberapa tahun lalu sehingga kepada pelancaran generasi ketiga pemproses berkenaan pertengahan tahun ini, AMD dilihat sudah berjaya mengatasi dominasi Intel selama beberapa dekad lalu.

Perkara ini turut diakui oleh Intel melalui satu laporan yang menyatakan mereka sudah dua tahun ketinggalan dalam perkiraan tahun teknologi berbanding AMD.


HALESTORM akan mengadakan persembahan di Menara PGRM, Kuala Lumpur pada 14 Disember depan.

Pasaran Malaysia tidak terkecuali menjadi fokus utama syarikat gergasi itu untuk meneruskan dominasi dan AMD terus komited memberikan produk berinovasi selain menawarkan harga yang lebih relevan kepada pengguna.

Pengarah Pemasaran dan Jualan AMD Asia Tenggara, Ryan Sim berkata, Malaysia sememangnya menjadi pasaran sasaran buat AMD sejak beberapa tahun lalu dan perkembangan pasaran di negara ini banyak mempengaruhi secara keseluruhan dominasi di rantau ini.

“Pada Julai lalu, kami melancarkan pemproses Ryzen generasi ketiga termasuk kad grafik berteknologi tinggi iaitu siri RX 5700 untuk mengembangkan perkongsian pasaran kita sekali gus meningkatkan dominasi di rantau Asia Tenggara.


Kad

“AMD sentiasa memberi fokus kepada penghasilan produk yang berinovasi selain menawarkan prestasi terbaik berbanding pesaing kami sama ada bagi segmen pemproses (CPU) atau kad grafik (GPU).

“Dengan produk daripada barisan CPU Ryzen dan Radeon sebagai teras utama perniagaan kami, AMD menunjukkan penguasaan yang sangat konsisten sejak beberapa tahun lalu termasuk mencatatkan perkembangan berganda sejak 12 bulan lalu,” katanya menerusi temu bual bersama IT@Metro, baru-baru ini.

Sim berkata, AMD juga mempunyai perkongsian pasaran di Malaysia hampir kepada 50 peratus dalam suku kedua tahun ini dan ia perkembangan sangat positif.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Firma Data Antarabangsa (IDC) juga menunjukkan AMD sudah berkembang tiga kali ganda daripada tahun ke tahun di rantau ini dan trend itu akan diteruskan pada masa depan.


SIRI kad grafik Radeon antara yang mampu memberikan prestasi terbaik dalam kelasnya.

Ketika ditanya berhubung faktor kekuatan produk AMD yang sering menawarkan harga lebih relevan, Sim berkata, AMD sangat komited meneruskan prestasi cemerlang mereka dalam memberi produk berprestasi tinggi di samping penawaran harga yang berpatutan untuk pengguna.

“Kami juga di landasan yang betul apabila pada 2016 melancarkan soket AM4 untuk papan induk dan ia boleh digunakan selama empat tahun sehingga 2020.

“Keputusan itu dibuat kerana kami prihatin terhadap pengguna dan mereka boleh menaik taraf sistem perkakasan mereka beberapa kali menggunakan papan induk yang sama tanpa perlu mengeluarkan wang untuk pembelian papan induk lain,” katanya.

Katanya, AMD akan meneruskan sumbangannya terhadap perkembangan sukan elektronik (eSport) dengan membekalkan kelas CPU berprestasi tinggi serta kad grafik terbaik yang berada di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 10:37 AM