HUAWEI dijangka beri saingan kepada Google Maps.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


HUAWEI sedang membangunkan perkhidmatan peta pintar milik mereka sendiri dan dijangka memberi saingan kepada Google Maps yang sering digunakan oleh pengguna serta sistem penghantaran yang turut menggunakan landskap peta yang sama.

Setakat ini, perkhidmatan berkenaan diwujudkan untuk pembangun perisian atau aplikasi yang menawarkan sistem navigasi atau perkhidmatan pengangkutan yang turut menggunakan sistem peta semasa.

Berdasarkan laporan The Verge, aplikasi itu turut memberikan keadaan trafik masa terkini kepada pengguna sama seperti Google Maps dan penyedia perkhidmatan navigasi yang lain.

Khabar angin juga mengatakan bahawa Huawei akan bekerjasama dengan sebuah syarikat pembekal perkhidmatan Internet berpangkalan di Russia iaitu Yandex untuk menawarkan perkhidmatan navigasi dalam bentuk fail API.

Bagi menjayakan aplikasi baharu berkenaan, Huawei perlu melabur dalam jumlah yang tinggi untuk menandingi aplikasi sedia ada yang kebanyakannya bergantung kepada perkhidmatan Google.

Kejayaan Google selepas melancarkan perkhidmatan Google Maps pada 2005 dan melakukan pelaburan besar termasuk membeli aplikasi Waze pada harga RM3 bilion pada 2013.

Apple juga cuba menawarkan perkhidmatan sama sejak 2012 dengan aplikasi navigasinya sendiri, namun menghadapi beberapa kesulitan untuk bersaing dengan perkhidmatan sedia ada.

Syarikat berkenaan dilaporkan cuba untuk menggunakan data peta daripada TomTom, OpenStreetMap dan beberapa pengendali data lain namun menghadapi kesukaran.

Langkah Huawei untuk melancarkan aplikasi terbarunya kerana mahu mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan yang terarah kepada Amerika Syarikat (AS) selepas krisis dengan negara besar dunia itu masih berlarutan.

Ia adalah satu lonjakan untuk Huawei supaya melabur dan membangunkan sistem serta perisian sendiri tanpa perlu mengharapkan kepada perkhidmatan lain yang banyak dikuasai oleh AS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 8:45 AM