TAHAP perkhidmatan jalur lebar tetap di negara ini meningkat dua kali ganda.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


HASIL daripada pembaharuan serta kawal selia yang dilaksanakan untuk tahap perkhidmatan jalur lebar tetap di negara ini, jurang purata kelajuan berbanding negara utama lain sudah dapat dikurangkan lebih dua kali daripada enam kali lebih pantas.

Ia turut merujuk kepada Analisis Bank Dunia apabila purata kelajuan jalur lebar tetap di negara ini meningkat dalam tempoh 12 bulan serta perubahan daripada segi permintaan pengguna kepada Internet yang lebih cepat.

Analisis berkenaan menyatakan Malaysia mempunyai pasaran jalur lebar tetap paling tertumpu di seluruh Asia Pasifik untuk negara yang mempunyai jumlah penduduk lebih besar daripada satu juta.

Analisis juga mendapati kelewatan Malaysia dalam kelajuan Internet sebahagiannya berpunca daripada persaingan terhad dalam segmen pasaran jalur lebar, dominasi satu syarikat yang memegang 90 peratus bahagian pasaran dan beberapa faktor lain.

Persaingan terhad dan kesukaran dalam penggunaan rangkaian mengekang penyedia perkhidmatan Internet (ISP) alternatif daripada melaksanakan rangkaian atau menawarkan perkhidmatan pada terma yang lebih kompetitif.

Pengawal selia telekomunikasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) yang mengawal selia harga dan terma bagi ISP alternatif untuk mengakses kapasiti jalur lebar borong sedia ada.

Pengenalan MSAP membawa kepada kualiti sambungan jalur lebar tetap termasuk perkhidmatan Internet fiber dan kebanyakan penyedia perkhidmatan tempatan mengumumkan pelan langganan jalur lebar baharu dengan kelajuan yang lebih cepat pada harga yang lebih rendah.

Purata harga untuk perkhidmatan jalur lebar asas dengan 30 Mbps perkhidmatan merosot lebih 30 peratus pada 2018 dan purata harga pelan untuk kelajuan melebihi 1Gbps atau sasaran kelajuan untuk negara berpendapatan tinggi, susut sebanyak 40 peratus.

Pelanggan di negara ini juga mula beralih kepada pelan jalur lebar dengan kelajuan yang lebih pantas dan SKMM mendedahkan jumlah langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun lebih daripada 100 Mbps meningkat dengan faktor lapan hingga 1.2 juta pelanggan pada akhir 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 8:39 AM