Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my


HUAWEI, syarikat teknologi global melancarkan edisi terkini bagi siri nova iaitu Huawei nova 5T yang menampilkan prestasi dan ciri kamera terbaik pada harga RM1,599 seunit untuk pasaran Malaysia.

Model yang dikenali sebagai peranti hiburan bergaya itu menawarkan lima kamera kecerdasan buatan (AI) iaitu empat kamera di bahagian belakang dan satu kamera swafoto di bahagian depan pada saiz 32 megapiksel (MP).

Timbalan Pengarah Negara, Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei Malaysia, Matthew Ng berkata, empat kamera di bahagian belakang peranti itu terdiri daripada kamera utama dengan saiz 48 MP; kamera ultra luas (16 MP); kamera makro (dua MP) dan kamera ‘depth’ pada saiz dua MP.

“Nova 5T turut menampilkan ciri AIS Super Night Mode yang membolehkan gambar terbaik dihasilkan walau dalam keadaan kehadiran cahaya yang amat rendah,” katanya pada pelancaran global Huawei Nova 5T di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, Nova 5T memiliki set cip bersaiz tujuh nano meter (7nm) pertama di dunia, menggunakan set chip terunggul Huawei sendiri iaitu Kirin 980 yang dilengkapi 8 gigabait (GB) RAM dan 128GB ROM yang terdiri dari teknologi penyimpanan ultra pantas UFS 2.1.

“Telefon pintar ini juga dilengkapi paparan 6.26 inci All View Display yang menawarkan nisbah skrin ke badan 91.7 peratus serta dikuasakan dengan bateri 3750mAH dan didatangkan dengan teknologi SuperCharge 22.5W bagi membolehkan bateri dicas sehingga 50 peratus dalam tempoh hanya 30 minit,” katanya.


Matthew ketika pelancaran edisi terkini Huawei bagi siri nova iaitu Huawei nova 5T.

Huawei Nova 5T yang memiliki pengesan cap jari di bahagian tepi telefon pintar itu didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu ungu, biru dan hitam.

Sementara itu, model terbaharu Nova itu boleh didapati secara pratempahan bermula 29 Ogos 2019 di semua cawangan rasmi Huawei.

Pengguna yang membuat pratempahan dari 29 Ogos sehingga 5 September ini akan menerima hadiah eksklusif bernilai hampir RM325 membabitkan pembesar suara mini Huawei dan pengecas kereta SuperCharge Huawei.

Selain itu, pengguna akan ditawarkan lanjutan jaminan selama setahun jika membeli peranti itu dari 29 Ogos sehingga 31 September ini.

Huawei Nova 5T akan mula dijual di seluruh negara bermula 7 September ini di cawangan Huawei.

Pada majlis sama, Huawei turut melancarkan tablet terbaharunya iaitu MediaPad M5 Lite bersaiz 10.1 inci yang dijual pada harga RM1,299 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:23 PM