HONOR 20 menawarkan tetapan empat lensa dengan keupayaan berbeza.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


TELEFON pintar sub jenama Huawei iaitu Honor tidak perlu diperkenalkan lagi apabila mula menempa nama dalam segmen pe­ngeluaran peranti mudah alih beberapa tahun lalu malah diklasifikasikan sebagai telefon pintar untuk segmen permainan.

Namun, selepas krisis yang melanda antara Amerika Syarikat (AS) serta Huawei, wujud pertikaian kelangsungan jenama itu dan pelancaran Honor 20, baru-baru ini membuktikan Huawei dapat menawarkan peranti yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.

Mengulas berhubung spesifikasi teknikalnya, Honor 20 menggunakan pemproses teknologi terkini iaitu Kirin 980 yang menggunakan rekaan 7nm serta dipadankan dengan memori (RAM) 6GB.

Skrin peranti ini berkeluasan 6.26 inci dengan paparan menggunakan IPS LCD sesentuh dengan keupayaan penawaran tona warna sebanyak 16 juta secara keseluruhannya.

Honor 20 menggunakan kamera utama tetapan empat lensa iaitu lensa utama berkeupayaan merakam imej pada resolusi 48 megapixel (MP) lebar, 16MP sudut ultra lebar, 2MP lensa makro dan sensor ‘depth’ 2MP.

Kamera swafoto pula dilengkapi dengan 32MP yang berkeupayaan merakam imej HDR dengan rakaman video resolusi 1080p pada 30 bingkai sesaat.

Peranti ini menggunakan kapasiti bateri 3,750mAh dengan keupayaan pengecas pantas 22.5W untuk kemudahan pengguna tanpa perlu menunggu lama untuk mengecas bateri peranti.

Secara umumnya, Honor mengeluarkan tiga varian berbeza untuk siri Honor 20 iaitu Honor 20 Lite bagi kelas permulaan, Honor 20 untuk pertengahan dan Honor 20 Pro bagi kelas tinggi.

Ketiga-tiga peranti ini mempunyai rekaan yang hampir sama, penggunaan cipset yang sama dan keupayaan yang hampir namun membezakan adalah beberapa padanan perkakasan peranti.

Secara keseluruhannya, peranti Honor 20 adalah telefon pintar yang baik kerana dipadankan dengan keupayaan kamera yang mampu merakam imej dengan kualiti gambar yang baik namun tidak mengagumkan.

Aspek positif pada peranti ini adalah prestasi keseluruhannya yang laju serta keupayaan kamera untuk merakam imej yang baik dalam apa juga keadaan.

Kekuatan utama adalah penawaran harga yang rendah walaupun mempunyai spesifikasi teknikal yang sangat baik dengan harga yang ditawarkan.

Namun, kelemahan ketara adalah penggunaan aplikasi pemuka, Magic UI yang tidak menarik termasuk aplikasi ‘bloatware’ yang begitu banyak sehingga mengganggu pengguna.

Selain itu, isu kemas kini sistem operasi oleh Huawei pada masa depan memandangkan krisis yang berlaku antara syarikat itu dengan AS masih tidak diselesaikan secara muktamad.

SPESIFIKASI

Pemproses:

Kirin 980 (7nm)

RAM: 6GB

Kamera utama: 48MP + 16MP + 2MP + 2MP

Kamera swafoto: 32MP

Kapasiti bateri: 3,750mAh

Penilaian penulis

Sistem pemuka: 3 / 5

Prestasi: 3.5 / 5

Keupayaan: 3.5 / 5

Harga: 4 / 5

Keseluruhan: 3.5 / 5

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:00 AM