PEMBANGUN permainan mudah alih perlu lebih berani menghasilkan permainan yang tidak menggunakan konsep bayar untuk menang.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


MANA pilihan anda jika diberikan dua soalan iaitu platform permainan mudah alih atau permainan konvensional yang dimainkan menerusi ‘desktop’.

Menerusi komuniti permainan desktop atau nama lainnya, ‘PC Gaming Community’ sering meletakkan anggapan bahawa ‘gamer’ atau kaki game sebenar adalah individu yang bermain menerusi desktop manakala pemain permainan mudah alih dilihat sebagai peminat permainan tidak tegar.

Minggu ini, IT@Metro cuba memberikan titik sama antara dua komuniti berkenaan iaitu permainan mudah alih atau permainan desktop.

Menerusi beberapa laporan firma analisis antarabangsa, segmen permainan konvensional menggunakan platform desktop bakal berkubur tidak lama lagi dengan kemunculan peranti mudah alih kelas premium yang menawarkan mutu permainan yang baik.

Firma berkenaan juga tidak begitu menjelaskan dari mana sumber data atau dapatan berkenaan diperoleh memandangkan isu ini sudah beberapa kali diulang siar.


SEGMEN permainan mudah alih dan permainan desktop sering diperdebatkan terutama dalam kalangan komuniti permainan .

Jika anda semua masih ingat, ketika laptop kelas permainan mula-mula diperkenalkan sekitar lebih sedekad lalu, isu sama juga dimainkan namun sehingga ke hari ini, desktop permainan masih relevan.

Lebih menakjubkan apabila komuniti sukan elektronik (eSport) hari ini kebanyakannya adalah platform permainan desktop berbanding peranti mudah alih.

Penulis lebih berpandangan ‘analisis’ firma antarabangsa itu sebagai data ‘tidak matang’ apabila tiada perbandingan jelas berkaitan kedua-dua segmen terbabit.

Menerusi perspektif segmen permainan desktop, peranti mudah alih masih terlalu jauh untuk dibandingkan secara bergandingan atau ‘head to head’ terutama ketika menyentuh aspek kandungan permainan serta kualiti grafik yang ditampilkan.

Segmen permainan desktop hari ini sudah mencapai tahap paling matang apabila setiap pemain mahukan kualiti grafik dalam resolusi 4K termasuk kecanggihan kad grafik yang mampu memberikan kesan realistik.

Kandungan permainan dalam segmen ini juga adalah dikategorikan sebagai kandungan permainan profesional kerana sangat jarang judul yang dilancarkan dalam platform ini menggunakan konsep ‘bayar untuk menang’ (pay-to-win).


PERMAINAN desktop sudah sangat matang dan mempunyai pelbagai kelebihan terutama dalam aspek grafik dan mustahil permainan mudah alih mampu menandinginya buat masa ini.

Setiap judul terutama yang menampilkan permainan dalam talian, memerlukan pemain menghabiskan masa puluhan jam untuk mengetahui mekanikal permainan sekali gus mempelajari kemahiran dan selok belok permainan.

Isu berbeza bagi permainan segmen mudah alih apabila kebanyakan kandungan menggunakan konsep bayar untuk menang termasuk pembelian peralatan di dalam permainan.

Masih terlalu sedikit kuantiti judul permainan yang menampilkan permainan yang bergantung kepada kemahiran pemain memandangkan pembangun hanya memikirkan keuntungan selepas pembikinan sesebuah permainan mudah alih.

Secara keseluruhannya, kedua-dua segmen berkenaan mempunyai matlamat yang sama iaitu memajukan industri sukan elektronik namun menggunakan pendekatan yang berbeza.

Jika dibandingkan secara bersebelahan, penulis berasakan tidak adil memandangkan segmen desktop sudah sangat matang berbanding segmen mudah alih yang baru dalam proses ‘bertatih’ dalam industri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 10:17 AM