XIAOMI Mi A3 menggunakan tetapan tiga lensa
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENGELUAR telefon pintar, Xiaomi melancarkan telefon pintar untuk pasaran tempatan iaitu Xiaomi Mi A3 yang didatangkan menerusi dua varian berbeza mengikut spesifikasi.

Dua model ini mempunyai tanda harga bermula RM899. Bagi varian tinggi, ia dijual pada harga RM999 dan telefon pintar berkenaan diklasifikasikan sebagai peranti kelas permulaan.

Walaupun telefon pintar berkenaan diletakkan dalam kelas permulaan, spesifikasi yang digunakan adalah baik menerusi padanan pemproses Snapdragon 665 serta memori (RAM) 4GB.

Keluasan skrin bagi peranti ini adalah 6.08 inci serta menggunakan paparan AMOLED untuk menghasilkan kualiti pemuka yang lebih baik.

Xiaomi Mi A3 menggunakan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama 48 megapiksel (MP) sudut lebar, 8MP sudut ultra lebar dan 2MP untuk sensor kamera.

Bagi kamera swafoto pula, peranti ini menggunakan lensa 32MP dengan keupayaan teknologi HDR serta rakaman video 1080p dengan 30 bingkai sesaat.

Telefon pintar berkenaan menggunakan sistem operasi Android One berasaskan kepada Android 9.0 Pie serta memberikan pengalaman lebih baik kepada pengguna peranti berkenaan.

Dua model yang ditawarkan adalah variasi 4GB RAM + 64GB storan pada harga RM899 dan variasi 4GB RAM + 128GB pada harga RM999.

Peranti itu mula dijual di pasaran tempatan 3 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 9:27 AM