MASUK musim ke-10 dengan pembaharuan bakal dilaksanakan.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PERMAINAN pertempuran beramai-ramai (Battle Royale) Fortnite boleh diklasifikasikan sebagai judul permainan paling popular apabila merekodkan jumlah pemain menghampiri 250 juta sejak ia dilancarkan dua tahun lalu.

Jumlah pemain direkodkan meningkat 25 peratus jika dibandingkan dengan statistik pada November tahun lalu dan pembangun permainan berkenaan, Epic Games mengumumkan jumlah pemain meningkat setiap hari.

Kini, judul berkenaan sudah memasuki musim ke-10 dan Epic Games menjanjikan lebih banyak penambahbaikan akan dilaksanakan termasuk pembaharuan konsep permainan.

Dalam satu video pendek, pembangun permainan itu memperlihatkan beberapa pembaharuan yang bakal dilaksanakan selepas kemas kini musim 10 dilaksanakan.


RAINBOW Six Siege melancarkan operasi baharu dalam siri kedua untuk tahun keempat.

Video itu memaparkan beberapa petunjuk baru seperti bebola bercahaya (glowing orb) di dalam peti simpanan dan beberapa peminat permainan itu menjangkakan bahawa tema baru musim 10 adalah berasaskan kepada ‘bencana’ atau ‘cataclysmic’.

Selepas pendedahan video pra musim berkenaan, Epic Games menyiarkan video penuh yang merangkumi pelbagai lagi pembaharuan untuk musim baru permainan terbabit.

Roket yang dilancarkan ke udara, rama-rama magis daripada kiub letupan dan beberapa lagi imej adalah pembaharuan yang bakal ditampilkan.

Video diakhiri dengan kata pengenalan ‘sudah kehabisan masa’ (out of time’) yang menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan penggemar judul berkenaan.

Permainan berkenaan masih mengekalkan rangka utama permainan iaitu Battle Royale namun Fortnite dikenali sebagai permainan fiksyen yang jauh lebih sukar daripada PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG).


SISTEM Battle Pass mirip Fortnite akan diperkenalkan.

Berbeza dengan judul Battle Royale lain, Fortnite memerlukan pemain lebih kreatif dalam menjejaki musuh termasuk kepantasan kemahiran membina struktur bagi mengelak daripada ditembak pemain lain.

Judul berkenaan menggunakan latar masa serta pilihan persenjataan fiksyen dan animasi di dalam permainan itu juga tidak terlalu realistik berbanding PUBG.

Permainan berkenaan ditawarkan secara percuma dan pembangun Fortnite mampu untuk mengawal pemain yang menggunakan perisian godam dan usaha itu perlu mendapat pujian.

Kebanyakan permainan yang ditawarkan secara percuma kebiasaannya dipenuhi pemain yang menggunakan perisian pihak ketiga yang mampu menjejaki musuh secara automatik sekali gus mengurangkan keseimbangan di dalam permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:52 AM