GAMUDA Cove bakal menerima perkhidmatan 5G.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PEMAJU hartanah terkemuka, Gamuda Berhad menerusi cabang syarikatnya iaitu Gamuda Land membentuk perkongsian strategik bersama syarikat telekomunikasi Maxis, sekali gus melantik syarikat berkenaan untuk mewujudkan perbandaran teknologi rangkaian mudah alih 5G.

Ia bakal dilaksanakan di Gamuda Cove serta menjadikan lokasi Maxis pertama untuk rangkaian berkenaan apabila teknologi jaringan Internet berkelajuan tinggi itu dilancarkan secara rasmi di Malaysia tidak lama lagi.

Dalam kenyataan bersama, syarikat itu berkata, perkongsian berkenaan akan turut menyaksikan kedua-dua pihak mengkaji penyelesaian bandar pintar dan peruncitan pintar dalam semua perbandaran Gamuda Land di Malaysia.

Gamuda Land akan turut bekerjasama dengan Maxis untuk meningkatkan sebahagian daripada Gamuda Cove dengan jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi, membuka lebih banyak kemungkinan kepada perkhidmatan digital untuk komuniti perbandaran dan perniagaan.

Gamuda Cove adalah pembangunan perbandaran terkini Gamuda Land, terdiri daripada lebih 20,000 unit kediaman apabila siap sepenuhnya serta penghuni perbandaran itu bakal menerima perkhidmatan 5G.

Terletak di Lembah Klang Selatan di sepanjang Lebuhraya Elite dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, Gamuda Cove dijangka menjadi perbandaran yang menyeluruh dengan komponen kediaman, komersial, kesihatan, hiburan dan pendidikan.

Perkongsian itu susulan daripada kerjasama sebelum ini pada 2018 apabila Maxis menyediakan pelan fiber MaxisOne Home yang disesuaikan untuk perbandaran twentyfive.7 Gamuda Land di Kota Kemuning.

Maxis sebelum itu sudah melancarkan jaringan percubaan untuk 5G di Cyberjaya sejak Mei lalu dan fasa peningkatan perkhidmatan sedia ada sedang dilaksanakan.

Fasa percubaan itu akan melihat secara lebih mendalam berhubung karektor jaringan berkenaan dan mungkin permasalahan yang bakal dihadapi serta menyediakan perkhidmatan terbaik apabila jaringan mudah alih itu dilancarkan secara meluas kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 10:00 AM