GAMBAR hiasan.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


KEHIDUPAN dalam dunia teknologi dan Internet sememangnya sesuatu yang sangat indah kerana setiap maklumat boleh diakses dan semuanya di hujung jari.

Namun, kemudahan teknologi itu juga mendedahkan kepada risiko baharu apabila setiap pengguna tidak lagi mempunyai ruang peribadi apabila semua data maklumat mereka boleh diakses secara dalam talian.

Internet boleh bertukar menjadi mimpi ngeri untuk setiap pengguna, malah wujud pelbagai aplikasi meragukan yang dicipta bertujuan mencuri data sensitif milik pengguna.

Data sensitif ini termasuk lokasi kediaman pengguna, maklumat perbankan, gambar dan apa saja berkaitan dengan pengguna yang disasarkan.

Awal minggu ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi akaun laman sosialnya membuat hantaran peringatan kepada pengguna supaya membuang tujuh aplikasi ini dalam telefon pintar mereka.

Ia berikutan hasil maklumat daripada pengkaji sebuah firma keselamatan terkemuka iaitu Avast menemui data meragukan dalam aplikasi itu yang dicipta bertujuan untuk mencuri data selain mengintip kegiatan pengguna.

PDRM turut menyatakan Avast yang berpangkalan di Republik Czech sudah menyenaraikan tujuh aplikasi dalam Google PlayStore yang didapati melakukan intipan terhadap pengguna menerusi peranti pintar mereka.


APLIKASI meragukan sudah dibuang di dalam PlayStore oleh Google.

Aplikasi itu mampu menjejak dan menghantar data lokasi pengguna selain log panggilan, senarai nombor telefon, mesej teks dan sejarah panggilan yang dibuat.

Aplikasi berkenaan adalah ‘Track Employees Check Work Phone Online Spy Free’, ‘Spy Kids Tracker’, ‘Phone Cell Tracker’, ‘Mobile Tracking’, ‘Spy Tracker’, ‘SMS Tracker dan ‘Employee Work Spy’.

Berdasarkan semakan, semua aplikasi itu sudah dibuang oleh Google daripada pangkalan PlayStore mereka namun 130,000 muat turun direkodkan bagi aplikasi terbabit.

Pengguna peranti sistem operasi Android dinasihati memeriksa aplikasi yang dimuat turun pada peranti pintar masing-masing dan membuang (uninstall) aplikasi dengan segera jika terdapat dalam senarai muat turun.

Pengguna juga diminta tidak memuat turun sebarang aplikasi yang tak dipastikan kegunaan dan tahap keselamatannya memandangkan ia akan meningkatkan risiko ancaman.

Menggunakan aplikasi yang meragukan hanya akan meningkatkan risiko keselamatan kepada pengguna kerana sebarang data sensitif boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Lebih menakutkan apabila wujud butiran perbankan Internet pengguna yang sudah dicuri sehingga mengakibatkan kehilangan wang tanpa disedari.

Pengguna peranti pintar perlu lebih berwaspada jika mahu memasang sesuatu aplikasi dan perlu melihat kepada terma juga lesen perjanjian yang dikeluarkan oleh pembangun tanpa sewenangnya menekan butang kebenaran untuk mengakses semua maklumat.


PDRM menyarankan pengguna untuk membuang tujuh aplikasi meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 12:14 PM