PEMPROSES AMD Ryzen 5 3600X memberikan prestasi lebih baik berbanding Intel Core i7-8700K .
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


TIDAK keterlaluan jika penulis meletakkan satu jolokan nama untuk pemproses keluaran Advanced Micro Devices (AMD) sebagai juara baharu untuk segmen pemprosesan konvensional yang menggunakan platform desktop.

Malah, pesaing mereka iaitu Intel sudah mengakui syarikat berkenaan tidak lagi mampu bersaing dengan AMD dalam segmen pemproses 7nm sehingga 2021 dan kenyataan itu berdasarkan satu laporan portal berita antarabangsa iaitu TechRadar.

Pengakuan Intel itu mendedahkan syarikat berkenaan sebenarnya ketinggalan dua tahun teknologi berbanding apa yang dimiliki oleh AMD kini, maka tidak hairanlah produk barisan Ryzen generasi ketiga sudah jauh meninggalkan prestasi pemproses Intel.

Bagi AMD Ryzen 3600X, pemproses jenis itu didatangkan dengan enam teras pemproses dan 12 ‘Threads’ untuk memberikan nilai prestasi yang lebih baik.

Pemproses jenis ini boleh diklasifikasikan sebagai pemproses kelas pertengahan namun mempunyai nilai prestasi yang sangat baik kepada kaki game atau pengguna yang kerap menggunakan sintesis animasi (rendering).

Untuk proses sintesis, secara asasnya memerlukan teras pemproses yang tinggi supaya kadar masa dapat dipendekkan dengan sokongan keupayaan kad grafik.

Frekuensi asas untuk pemproses ini adalah 3.8GHz manakala frekuensi dipertingkatkan, 4.4GHz untuk memberikan kuasa yang maksimum ketika penggunaannya.

Ujian prestasi yang dilaksanakan oleh Cinebench R20 menunjukkan pemproses Ryzen 5 3600X menduduki tangga ketiga selepas Ryzen 7 2700X.

Pemproses jenis itu juga lebih berkuasa jika dibandingkan dengan Ryzen 7 1800X malah jauh meninggalkan pemproses keluaran Intel iaitu Intel Core i7-8700K.

Untuk prestasi ujian bagi segmen permainan juga menunjukkan pemproses Ryzen 5 3600X lebih baik dan menduduki tangga ketiga selepas Intel Core i7-8700K.

Prestasi ujian itu dilaksanakan bagi permainan dalam resolusi 1080p dan sudah pasti pemproses jenis ini bakal menjadi pilihan kaki game kelas pertengahan kerana ia dijual dalam harga lingkungan RM1,000 dan memberikan prestasi yang sangat baik.

Tambahan pula, pemproses generasi baharu ini masih boleh menggunakan papan induk (motherboard) cip AM4 tanpa memerlukan pengguna menukar kepada papan induk yang baru.

Bagaimanapun, jika pengguna membeli siri Ryzen 7 sudah pasti memerlukan papan induk berprestasi tinggi supaya dapat memaksimumkan keupayaan pemproses berkenaan.


UJIAN prestasi menunjukkan keupayaan prestasi yang sangat baik untuk Ryzen 5 3600X.

SPESIFIKASI

•Teras: Enam

•Threads: 12 Jenis papan

• Induk: AM4

•Frekuensi asas: 3.8GHz

•Frekuensi dipertingkat: 4.4GHz

Penilaian penulis

•Prestasi: 4 / 5

•Keupayaan: 4 / 5

•Harga: 4 / 5

•Keseluruhan: 4 / 5

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 11:58 AM