VIVO S1 menawarkan keupayaan kamera menggunakan tetapan tiga lensa untuk menghasilkan imej lebih baik.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


TELEFON pintar jenama Vivo bakal melancarkan satu lagi peranti terbaharu mereka dikenali sebagai Vivo S1 sebagai peranti kelas pertengahan yang menampilkan spesifikasi lebih baik.

Ia juga bakal menjanjikan harga mampu milik tanpa mengabaikan spesifikasi teknikal yang menjadi teras untuk platform jualan kepada pengguna.

Vivo S1 bakal menggunakan pemproses Snapdragon 710 yang akan dipadankan dengan dua spesifikasi memori (RAM) iaitu 4GB atau 6GB berdasarkan kepada varian peranti terbabit.

Telefon pintar ini akan menggunakan unit pemproses grafik Qualcomm Adreno 616 di samping sistem storan 128GB atau 256GB.

Peranti berkenaan bakal didatangkan dengan dua varian berbeza berdasarkan kepada pendedahan spesifikasi dan pastinya ia akan dibezakan dengan keupayaan memori secara keseluruhan dan kapasiti storan yang ditawarkan.

Skrin paparan akan menggunakan keluasan 6.53 inci menggunakan teknologi panel IPS bagi menghasilkan kecerahan paparan yang baik serta pengalaman kepenggunaan optimum.

Telefon pintar berkenaan juga menyokong kad memori sokongan MikroSD yang boleh ditambah sehingga 256GB, sekali gus memberi ruang penyimpanan data yang lebih banyak.

Vivo S1 akan menggunakan tetapan tiga lensa untuk kamera utama iaitu 16 megapixel (MP) lebar + 8MP sudut ultra lebar dan 5MP untuk sensor gambar.

Bagi kamera swafoto pula, Vivo S1 akan menggunakan lensa tunggal berkeupayaan 32MP untuk merakam gambar berkualiti sesuai dengan golongan muda yang gemar memuat naik sebarang aktiviti di media sosial tanpa ada masalah kualiti imej.

Kapasiti bateri pula 4,500mAh bateri terbina di dalam peranti dan kapasiti berkenaan mampu untuk memastikan peranti kekal bertahan sepanjang hari walaupun penggunaan maksimum.

Peranti itu juga menyokong pengecas pantas dan Vivo menawarkan dua warna untuk produk terbaru mereka iaitu Skyline Blue dan Cosmic Green.

SPESIFIKASI

•Pemproses: Snapdragon 710

•RAM: 4GB/6GB

•Kamera utama: 16MP + 8MP + 5MP

•Kamera swafoto: 32MP

•Storan: 128GB/256GB

•Kapasiti bateri: 4,500mAh

•Warna: Skyline Blue / Cosmic Green

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 11:51 AM