KETUA Pegawai Eksekutif AMD, Dr Lisa Su.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENGUASAAN perkongsian pasaran untuk pemproses konvensional bukan lagi milik Intel sebaliknya sudah didominasi pesaing terdekat mereka iaitu Advanced Micro Devices (AMD).

Kemunculan pemproses keluaran AMD generasi Ryzen pada dua tahun lalu memberi kejayaan besar kepada syarikat berkenaan kerana mampu ‘menundukkan’ Intel.

Faktor penawaran cip Ryzen yang lebih murah berbanding Intel menjadi pendorong utama selain daripada kuasa prestasi yang ditawarkan sudah mengatasi Intel sejak pelancaran Ryzen Generasi 3000 beberapa bulan lalu.

Intel sendiri sudah mengakui mereka terpaksa akur dengan penguasaan AMD terutama dalam segmen pemproses binaan 7nm.

Menerusi satu laporan menyatakan kejayaan AMD menghasilkan pemproses daripada binaan 7nm adalah garis pengukur dominasi syarikat itu dan kini, Intel sudah ketinggalan dua tahun ke belakang dalam aspek ‘tahun teknologi’.

AMD Ryzen 3000 memperlihatkan peningkatan jualan yang sangat ketara malah pemproses syarikat itu semakin diterima umum apabila memberikan prestasi yang lebih baik berbanding Intel.

Pemproses AMD Ryzen berjaya menewaskan kedudukan pasaran Intel dalam dua hari apabila ia dilancarkan bagi segmen pasaran Asia.

Ketika pemproses jenis itu dilancarkan pada hari pertama, berlaku peningkatan jualan sebanyak 48.72 peratus manakala hari kedua, ia sudah berjaya mengatasi jualan Intel dengan 52.36 peratus berbanding Intel yang mencatatkan jualan 46.64 peratus saja.

Ketua Pegawai Eksekutif AMD, Dr Lisa Su dalam satu temu bual menyatakan kejayaan AMD menghasilkan pemproses daripada binaan 7nm adalah satu kejayaan besar dan ia sangat bersejarah.

Lisa turut membayangkan AMD bakal melancarkan pemproses kelas prestasi miliknya iaitu ‘Treadripper’ pada tahun ini dengan menggunakan struktur binaan pemproses yang sama iaitu 7nm.

“Saya tidak pernah menyatakan pemproses Treadripper akan dihentikan cuma kita melihat sesuatu yang baru daripada Threadripper.

“Anda semua akan melihat lebih banyak lagi Threadripper selepas ini terutama dalam segmen desktop kelas premium dan kami menjanjikan lebih banyak Threadripper,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 10:40 AM