SONY Xperia 1 menonjolkan kemampuan rakaman video dalam resolusi 4K.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


TELEFON pintar berjenama Sony pernah menjadi fenomena suatu ketika dulu namun penguasaan jenama itu semakin hilang.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan tidak berputus asa.

Terkini, Sony akan melancarkan telefon pintar terbaharu mereka iaitu Sony Xperia 1 untuk cuba kembali ke pasaran arus perdana.

Sony Xperia 1 menggunakan pemproses Snapdragon 855 (7nm) yang dipadankan dengan memori (RAM) 6GB bagi memastikan kelancaran peranti berkenaan untuk beroperasi menggunakan sebarang aplikasi.

Skrin paparan peranti ini menggunakan skrin sesentuh OLED berukuran 6.5 inci dan dilengkapi Corning Gorilla Glass 6 selain teknologi paparan Triluminos.

Peranti ini akan menggunakan storan kapasiti 128GB dan dilengkapi kad MikroSD yang menyokong storan sehingga 1TB.

Kamera utama telefon pintar ini menggunakan gabungan tiga lensa iaitu 12 megapixel (MP) untuk sudut lebar, 12MP lensa telefoto dan 12MP sudut ultra lebar.

Bagi kamera swafoto pula, ia adalah dilengkapi dengan 8MP sudut lebar dan mampu untuk merakam video dalam resolusi 1080p pada 30 bingkai sesaat.

Kapasiti bateri untuk telefon pintar ini adalah 3,330 mAh dan dilengkapi dengan pengecas pantas 18W untuk memudahkan pengguna.

Berdasarkan penilaian beberapa laman web gajet menunjukkan peranti ini mempunyai kelebihan daripada sudut keunikan rekaan termasuk tona warna yang sangat baik.

Malah, telefon pintar ini juga berkeupayaan untuk merakam video dalam resolusi 4K namun kekurangannya adalah tanda harga peranti ini adalah sangat mahal.

Selain itu, keupayaan kamera tidak begitu mengagumkan seperti telefon pintar lain manakala skrin paparan akan menjadi terlalu gelap di bawah cahaya yang terang.

SPESIFIKASI

Pemproses: Snapdragon 855

RAM: 6GB

Storan: 128GB

Kamera utama: Tiga lensa 12MP

Kamera swafoto: 8MP

Kapasiti bateri: 3,330mAh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 5:00 AM