GOOGLE membangunkan sistem perkongsian fail mudah dikenali Fast Share.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


PENGGUNA peranti Android tidak lagi perlu cemburu dengan kemudahan perkongsian fail milik Apple yang dikenali sebagai AirDrop selepas satu aplikasi baharu dibangunkan untuk memudahkan perkongsian antara Android dan Chromebook.

Aplikasi itu dikenali sebagai ‘Fast Share’ dan sedang dibangunkan Google untuk memenuhi permintaan pengguna yang mahukan satu sistem perkongsian mudah.

Dikatakan mirip fungsi yang terdapat pada iOS dan MacOS iaitu AirDrop, ia membenarkan penghantaran fail seperti imej, URL, teks dan lainnya kepada peranti berdekatan tanpa menggunakan Internet.

Fungsi tersedia pada paparan share, ia tampil dengan ikon seperti gambar di bawah. Selain itu, Fast Share juga boleh dilancarkan dengan pergi ke bahagian ‘SettingsGoogleFast Share’.

Menurut 9to5Google, penghantaran fail dibuat dengan mudah apabila pengguna hanya perlu memasukkan nama peranti penerima dan tekan ‘Turn On’ untuk mengaktifkannya. Ciri seperti Bluetooth dan Location diperlukan untuk fungsi ini.

Setelah peranti penerima dipilih, paparan akan memberi informasi fail apa yang sedang dihantar disamping nama peranti penerima.

Fast Share juga dikatakan tidak hanya terhad untuk penggunaan pada Android apabila ia juga boleh dijadikan platform perkongsian untuk jam tangan pintar dan iPhone.

Fast Share diuji pada Pixel 3XL yang menjalankan sistem operasi Android Q dan berkemungkinan ia akan ditawarkan pada sistem operasi yang sebelumnya. Buat masa sekarang, belum dapat dipastikan bila Google akan memperkenalkan ciri perkongsian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 8:55 AM