PENGASAS Microsoft mengakui kesilapan terbesar adalah melupakan segmen sistem operasi mudah alih. Bill Gates
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

PENGASAS Microsoft, Bill Gates mengakui kurangnya perhatian pihaknya berhubung sistem operasi mudah alih adalah kesilapan terbesar mereka sedangkan segmen berkenaan mampu menjana pendapatan puluhan bilion.

Beliau turut mengakui keputusannya untuk tidak membangunkan sistem operasi mudah alih sebagai kesilapan terbesar dan kini Microsoft kehilangan peluang dan segmen berkenaan didominasi oleh Android.

“Di dalam dunia perisian, terutama membabitkan pelbagai platform, sesiapa yang berjaya mengambil peluang akan mendominasi pasaran.

“Jadi, kesilapan terbesar saya adalah tidak memberi fokus kepada platform mudah alih yang tak berkaitan Apple dan jurang besar itu kini didominasi Android.

“Kebiasaannya, Microsoft sentiasa mengisi jurang berkenaan namun untuk segmen mudah alih, saya melakukan kesilapan. Jika tidak, sudah pasti Microsoft mampu mendominasi ruang berkenaan,” katanya dalam satu temu bual dengan semua majalah berpangkalan di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Gates berkata, ruang berkenaan sememangnya sangat besar untuk peranti yang tidak menggunakan platform Apple dan jika ia dapat dilaksanakan dulu, sudah pasti nilai keuntungan mencecah RM800 bilion.

Google mengambil alih Android pada 2005 dengan kos RM200 juta dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eric Schmidt mengakui fokus awal Google untuk menewaskan usaha Windows Mobile.

Schmidt dalam satu laporan mengatakan ketika itu pihaknya sangat prihatin bahawa strategi mudah alih Microsoft akan berjaya.

Bagaimanapun, keputusan menunjukkan Android akhirnya berjaya mengalahkan Windows dalam sistem operasi mudah alih dan kini mendominasi segmen berkenaan.

Pengakuan Gates berkenaan mengejutkan ramai pihak memandangkan sebelum ini banyak pihak berpendapat kegagalan Microsoft mendominasi segmen itu adalah kesilapan pengurusan terdahulu yang diketuai oleh Steve Ballmer.

Pada peringkat awal, wujud polemik dalam kalangan pereka di dalam Microsoft sama ada mereka perlu melupakan segmen mudah alih Microsoft memandangkan pada ketika itu permasalahan paling besar adalah skrin sesentuh yang kurang responsif.

Microsoft mengambil keputusan melupuskan sebarang usaha sistem operasi mudah alih pada Disember 2008 dan memberi fokus utamanya kepada sistem operasi komputer sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 9:13 AM