Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

SISTEM operasi umpama otak bagi setiap peranti sama ada ia bersifat mudah alih seperti telefon pintar ataupun peranti kegunaan pejabat misalnya komputer peribadi mahupun laptop.

Terdapat dua sistem operasi terbesar bagi dua segmen berkenaan iaitu segmen mudah alih sudah pastinya Android dan segmen komputer peribadi atau laptop iaitu Windows.

Kedua-dua sistem operasi ini mendominasi segmen mereka sendiri dan wujud persoalan adakah pengguna mahu bertukar kepada sistem operasi yang baharu jika wujud konflik yang tidak dapat dielakkan pada masa depan?

Berdasarkan statistik dikeluarkan badan bebas pusat kajian Amerika Syarikat iaitu Statista menunjukkan bagi segmen mudah alih, Android menguasai 75.27 peratus bagi perkongsian pasaran dunia meninggalkan jauh pesaingnya iaitu sistem operasi yang dibangunkan oleh Apple Inc, iOS yang mencatatkan perkongsian sebanyak 22.74 peratus.


SUKAR untuk menandingi keupayaan Android dan Windows. FOTO NSTP

Bagi berkenaan, dua sistem operasi itu dilihat paling berpengaruh dan menduduki tempat ketiga adalah KaiOS sebanyak 0.75 peratus serta dua lagi sistem operasi yang tidak diketahui masing-masing 0.32 dan 0.24 peratus.

Ramalan menunjukkan Android akan terus menguasai perkongsian pasaran untuk tempoh sedekad akan datang memandangkan sistem operasi itu sudah disifatkan sebagai ‘matang’ dan mempunyai jumlah pangkalan data pengguna yang begitu ramai.

Jika ada sistem operasi baharu diperkenalkan dalam masa terdekat untuk segmen mudah alih, hampir semua pakar berpandangan ia tidak dapat menandingi Android memandangkan sistem berkenaan sudah sangat stabil dan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada penggunanya.


STATISTIK perkongsian pasaran bagi segmen sistem operasi mudah alih masih didominasi oleh Android. FOTO NSTP

Sedekad lalu, mungkin Android dianggap ‘asing’ bagi sistem operasi mudah alih kerana ketika itu teknologi yang berada di pasaran belum mencapai tahap ‘peranti pintar’ seperti yang berlaku sekarang.

Situasi sama turut berlaku bagi segmen sistem operasi komputer atau laptop apabila perkongsian pasaran dikuasai oleh Windows sebanyak 75.47 peratus.

Pesaing Windows pula iaitu sistem operasi yang dibangunkan oleh Apple, MacOS menguasai 12.33 peratus manakala Linux (1.61 peratus), Chrome OS (1.17 peratus) dan sistem operasi tidak diketahui sebanyak 9.42 peratus.


WINDOWS kekal menguasai sistem operasi bagi komputer atau laptop memandangkan sistem berkenaan sudah begitu matang. FOTO NSTP

Windows sememangnya sebuah sistem operasi yang digunakan di seluruh dunia dan usaha berterusan syarikat berkenaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Berdasarkan statistik dua segmen berkenaan, pakar berpendapat adalah mustahil untuk menggantikan dua sistem operasi berkenaan walaupun sistem baharu itu menawarkan prestasi lebih baik.

Hal ini berlaku kerana dua sistem operasi itu sudah sangat stabil dan memiliki pangkalan data pengguna yang banyak termasuk kebanyakan pembangun perisian atau aplikasi akan mencipta produk mereka dengan tahap keserasian dua sistem operasi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 10:47 AM